Susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengenai pelaksanaan inisiatif BUD195 buat rakyat Malaysia, Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan memberi kemudahan penukaran cip MyKad rosak secara percuma bermula 23 September hingga 7 Oktober 2025.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata penukaran cip MyKad yang rosak secara percuma ini boleh dibuat di mana-mana kaunter dan pejabat JPN seluruh negara.
Mengikut rekod JPN, bagi tempoh Januari hingga Ogos 2025, JPN telah menerima sebanyak 294,715 permohonan penggantian MyKad di bawah kategori cip atau kad rosak. “Trend permohonan ini juga menunjukkan peningkatan ketara sejak tiga bulan kebelakangan iaitu sebanyak 32,819 permohonan pada Jun, meningkat kepada 40,371 pada Julai, dan melonjak lagi kepada 45,411 pada Ogos.
“Manakala bagi bulan September, sehingga 21 haribulan sahaja, JPN telah menerima sebanyak 22,858
permohonan. Berdasarkan purata penggantian dua bulan terkini, purata permohonan bagi kategori cip rosak direkodkan pada sekitar 43,000 unit cip sebulan,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan.
Tambahnya, penukaran cip MyKad rosak secara percuma ini dianggar akan melibatkan perbelanjaan kepada
Kerajaan Madani sebanyak RM714,660.00 termasuk kos lain yang berkaitan.
“Ingin saya tegaskan bahawa Kerajaan Madani prihatin untuk menanggung sepenuhnya kos tersebut dalam tempoh ini bagi memastikan akses rakyat kepada subsidi ini tidak akan sekali-kali terjejas hanya kerana masalah teknikal pada MyKad dan setiap warganegara yang layak dapat menikmati manfaat subsidi BUDI95 dengan lancar.
“Saya menyeru rakyat Malaysia untuk sentiasa memastikan MyKad berada dalam keadaan baik, kerana ia bukan sahaja dokumen pengenalan diri, tetapi juga kunci kepada pelbagai kemudahan kerajaan termasuk subsidi bersasar BUD195,” sambungnya lagi yang sebelum ini berkongsikan video mengenai mekanisme subsidi RON95 di salah sebuah stesen minyak di Cyberjaya.
Pagi tadi, Anwar mengumumkan bahawa bermula 30 September 2025, seramai 16 juta rakyat Malaysia berusia 16 tahun dan ke atas akan menikmati harga baharu petrol RON95 pada RM1.99 seliter dengan hanya menggunakan MyKad di kaunter dan pam, atau menerusi aplikasi stesen minyak. Walau bagaimana pun, katanya, manfaat ini akan dinikmati lebih awal oleh 300,000 anggota polis dan tentera mulai 27 September, serta penerima STR mulai 28 September.
Katanya, semua warganegara Malaysia yang memiliki lesen memandu sah layak menikmati subsidi ini dan menerima kuota sebanyak 300 liter petrol RON95 sebulan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.