Tidak seperti di pasaran ASEAN di mana Honda HR-V facelift yang dilancarkan tahun lalu terus dengan varian paling sporty RS e:HEV, model pasaran Jepun di mana SUV segmen-B tersebut dikenali sebagai Vezel di sana baru sahaja menerima versi RS, lebih lambat dari varian-varian biasa yang sudahpun mula didedahkan sejak Mac 2024. Walau bagaimanapun Vezel RS e:HEV JDM ini adalah lebih istimewa dari HR-V RS e:HEV yang kita terima di Malaysia kerana ia bukan hanya diberikan kit penggayaan lebih agresif, malah menerima talaan casis lebih sporty.
Dari segi rupa, Vezel RS ini masih lagi nampak sama dengan HR-V RS di sini yang menampilkan lampu hadapan LED, bersama gril hadapan, spoiler bawah bampar hadapan, pelindung bawah bendul sisi dan juga semua pelindung ruang roda, serta kemasan bawah bampar belakang yang semuanya hadir dalam kemasan hitam berkilat.
Ia juga menerima lencana RS pada gril hadapan dan pintu tailgate belakang, bersama set rim 18-inci lima jejari berkembar dalam kemasan dua-tona hitam Berlina dan aloi digilap.
Namun apa yang berbeza adalah pada bahagian casis di mana Vezel RS e:HEV ini menerima suspensi yang lebih rendah menjadikan ketinggiannya hanya 1,545 mm berbanding ukuran asal 1,580 mm (1,591 mm bagi RS e:HEV pasaran Malaysia). Ia juga diberikan sistem stereng kuasa bantuan elektrik (EPS) yang ditala semula bagi memberikan pemanduan lebih sporty.
Tiada perubahan unit rangkaian kuasa diberikan pada versi RS ini. Ia masih dijana oleh sistem hibrid e:HEV dengan padanan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC berkuasa 105 PS/127 Nm yang dalam kebanyakkan masa hanya berfungsi untuk mengecas bateri hibrid, bersama dua motor elektrik; motor lebih kecil bertindak sebagai starter-generator, dan satu lagi motor berkuasa 131 PS/253 Nm berfungsi untuk memacu roda hadapan. Enjin dan motor elektrik berkenaan turut boleh memacu bersama roda hadapan pada situasi tertentu contohnya pada kelajuan tinggi bagi memberikan keberkesanan bahan api lebih baik.
Bagi versi RS e:HEV pasaran Jepun ini, Honda turut menawarkan pilihan sistem pacuan semua roda. Sistem AWD yang ditawarkan ini masih belum diperincikan, namun sebelum ini Honda telah mendedahkan sistem yang menampilkan mekanisma gandar belakang yang dipacu oleh motor elektrik bagi memberikan fungsi AWD untuk sistem hibrid e:HEV berkenaan.
Pada bahagian dalam, versi RS ini diberikan kabin berwarna hitam dengan serlahan-serlahan jahitan dan jalur merah pada tempat duduk, panel pintu, papan pemuka, roda stereng balutan kulit, but tombol gear dan sebagainya. Ia juga menerima upholsteri tempat duduk dengan fabrik Lux Suede.
Perincian-perincian lain yang turut diberikan termasuk sistem penghawa dingin automatik dua zon, pengecas telefon pintar tanpa wayar, sistem infotainmen Honda Connect Display bersama sistem audio dengan 10-pembesar suara, pintu tailgate belakang bantuan kuasa dan pelbagai lagi. Versi RS ini turut menerima fungsi penuh sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) Honda Sensing.
Tempahan bagi model ini telah pun mula dibuka dan pelanggan terawal akan menerima kereta mereka bermula bulan Oktober. Honda Vezel RS e:HEV ini dijual pada harga bermula 3,748,800 yen (sekitar RM107k) bagi versi pacuan hadapan, dan juga 3,968,800 yen (RM113k) untuk versi AWD.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.