Honda HR-V facelift 2024 didedahkan di Jepun – kemaskini rupa dan juga talaan unit rangkaian kuasa

Honda HR-V facelift 2024 didedahkan di Jepun – kemaskini rupa dan juga talaan unit rangkaian kuasa

Honda telah pun mendedahkan versi facelift untuk Vezel generasi kedua di Jepun (dikenali juga sebagai HR-V di Malaysia dan pasaran lain) yang menampilkan beberapa perubahan kecil untuk aspek penggayaan luaran, kabin dan juga unit rangkaian kuasa.

Sekali imbas, rupa bahagian luaran versi facelift ini masih lagi nampak sama seperti sebelumnya. Namun jika anda perhati dengan lebih teliti, model kemaskini ini menampilkan bentuk gril yang sedikit berbeza dengan bahagian bawahnya lebih lebar.

Kedua-dua lampu hadapan juga kini dihubungkan antara satu sama lain menerusi satu kemasan bar perak pada bahagian atas gril. Manakala di belakang, grafik LED pada lampu turut dikemaskini yang kini menampilkan lebih elemen jalur melintang.

Honda HR-V facelift 2024 didedahkan di Jepun – kemaskini rupa dan juga talaan unit rangkaian kuasa

Untuk lampu hadapan, ia kini dipertingkat dengan LED projektor yang menampilkan sistem Adaptive Driving Beam. Sistem ini membolehkan beberapa bahagian lampu tingginya dipadamkan bagi mengelakkan pemandu lain silau.

Model pasaran Jepun ini turut ditawarkan dengan varian baharu yang digelar sebagai HuNT, iaitu varian yang menampilkan rupa lebih lasak yang diberikan rel bumbung, cermin sisi kemasan perak, dan juga serlahan berwarna oren pada sekeliling lampu kabus hadapan dan skid plate. Juga ia ditawarkan dengan opsyen upholsteri baharu untuk bahagian kabin.

Juga, Vezel facelift JDM ini ditawarkan dengan empat pakej aksesori yang memberikan rupa tersendiri iaitu Urban Style, Sports Style, Active Style dan Casual Style. Keempat-empat pakej ini menampilkan gril hadapan hitam berkilat dengan elemen berbentuk-U.

Honda HR-V facelift 2024 didedahkan di Jepun – kemaskini rupa dan juga talaan unit rangkaian kuasa

Pakej Urban Style menampilkan rupa paling sporty dengan penambahan kit badan dalam kemasan warna badan, sementara pakej Sports Style nampak lebih garang datang dengan kit yang sama tetapi dalam kemasan hitam serta diberikan rim aloi 18-inci lima jejari kembar tiga.

Manakala pakej Active Style pula memberikan rupa lebih lasak dengan pemadanan kotak kargo tambahan pada bumbung dan pelekat sisi badan. Untuk Casual Style, ia kelihatan lebih feminin dengan kit badan, kemasan sekeliling gril, penutup cermin sisi dan spoiler belakang berwarna rose gold, dan diberikan rim aloi 18-inci dengan elemen turbin.

Model pasaran Jepun ini hanya menerima unit rangkaian kuasa e:HEV. Ia masih mengekalkan padanan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC berkuasa 105 PS/127 Nm yang dalam kebanyakkan masa hanya berfungsi untuk mengecas bateri hibrid, bersama dua motor elektrik; motor lebih kecil bertindak sebagai starter-generator, dan satu lagi motor berkuasa 131 PS/253 Nm berfungsi untuk memacu roda hadapan.

Namun menurut Honda, unit rangkaian kuasa berkenaan kini sudah ditala semula bagi “memberikan bunyi enjin lebih baik ketika dipandu dalam bandar” dan ia juga lebih responsif.

Kita di Malaysia menerima HR-V generasi ketiga ini sejak Julai 2022. Jadi mungkin versi facelift ini akan tiba ke pasaran tempatan tahun hadapan setelah cukup tiga tahun ia dijual disini?

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required