Kerajaan negeri Perak mengharapkan projek pembinaan lebuhraya baharu yang menghubungkan Tanjung Malim-Lumut diberikan keutamaan dan perhatian oleh kerajaan Persekutuan menerusi Belanjawan 2026 yang dibentang Oktober ini.
Menurut Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, ia adalah antara beberapa perkara dimohon selain daripada yang sudah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai negeri tersebut menerusi pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) 31 Julai lalu, laporan Harian Metro.
Saarani menjelaskan pembinaan lebuhraya itu penting sebagai perancangan jangka panjang apabila Lembah Automotif Berteknologi Tinggi (AHTV) di Tanjung Malim beroperasi untuk memudahkan pengangkutan logistik ke Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LuMIC) di Lumut.
Selain itu, Perak juga mengharapkan pembinaan beberapa jajaran baharu yang menghubungkan Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dengan Lebuhraya West Ipoh Span Expressway (WISE) antara Gopeng-Kuala Kangsar di mana pembinaannya dijangka bermula tahun depan.
“Sebab bila sahaja bermulanya pengeluaran kereta EV di Tanjung Malim, untuk eksport melalui pelabuhan di Pulau Pinang agak jauh, ke Pelabuhan Klang sudah sesak. Jadi untuk tingkatkan kita punya eksport maka kita perlukan lebuhraya itu.
“Yang kedua adalah beberapa jajaran baharu di WCE untuk disambungkan ke WISE supaya kita sambungkan (dua) lebuhraya itu. Kita harap kementerian akan bagi keutamaan sebab penting bila semua sudah ada (pembangunan), kita perlukan jalan perhubungan yang baharu,” katanya.
Pada Julai tahun lalu, Saarani telah mengesahkan bahawa kerajaan negeri telah pun mendaftarkan projek lebuhraya baharu yang menghubungkan Tanjung Malim ke Lumut, sebaik sahaja projek Lebuhraya WISE yang menghubungkan Gopeng-Kuala Kangsar diluluskan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.