Nissan Sentra 2026 didedahkan di AS – rekaan baharu lebih agresif, 2.0L NA berkuasa 151 PS/198 Nm, CVT

Nissan Sentra 2026 didedahkan di AS – rekaan baharu lebih agresif, 2.0L NA berkuasa 151 PS/198 Nm, CVT

Walaupun sedang dilanda badai, Nissan nampaknya masih mengutamakan sedan segmen-C ikonik dalam barisan model-modelnya – ini dia Nissan Sentra (atau dikenali sebagai Sylphy di Malaysia) generasi ke-sembilan sudah didedahkan di Amerika Syarikat! Ia bakal mula dijual pada pasaran berkenaan pada lewat tahun ini bagi menggantikan model generasi sebelumnya yang sudah berada sekitar enam-tahun dalam pasaran.

Model generasi baharu ini sebenarnya masih menggunakan platform Common Module Family-CD (CMF-CD) Pakatan Renault-Nissan yang sama dengan model generasi ke-lapan, malah masih mengekalkan jarak roda yang sama iaitu 2,712 mm. Tapi Sentra baru ini nampak lebih besar bukan? Ini kerana panjang keseluruhannya telah meningkat 15 mm kepada 4,656 mm, dan ia 10 mm lebih lebar dengan ukuran 1,825 mm. Untuk nampak lebih sporty, badan Sentra baharu ini telah direndahkan sebanyak 2 mm kepada 1,448 mm.

Muka Sentra 2026 ini masih diberikan gril V-Motion, namun ia adalah dari versi baharu seperti yang ditampilkan pada model terkini seperti Nissan Note dan Qashqai. Lampu hadapan bukan sekadar lebih nipis, malah ia turut mempunyai rekaan seperti ‘taring’ pada setiap hujung sisi.

Lampu berkenaan menampilkan barisan projektor LED berbentuk empat segi, dan ia turut disertakan dengan lampu nyalaan siang bina-dalam diberikan jalur LED yang seakan bersambung dengan bar krom pada gril. Menurut Nissan, lampu ini akan memainkan ‘pertunjukan cahaya’ yang melibatkan nyalaan projektor utama, DRL dan juga lampu isyarat membelok.

Nissan Sentra 2026 didedahkan di AS – rekaan baharu lebih agresif, 2.0L NA berkuasa 151 PS/198 Nm, CVT

Sentra 2026 ini masih mengekalkan garisan bahu yang menonjol serta ‘otot-otot’ pada ruang roda hadapan dan belakang. Namun garis bumbungnya kini lebih menyerupai sebuah coupe dengan bahagian landai berlakang terus bersambung dengan bahagian but. Bahagian sisi sedan ini turut nampak lebih ringkas di mana garis-garis badan di bahagian bawah pintu telah dikurangkan.

Manakala di belakang model generasi baharu ini diberikan lampu belakang lebih nipis bersama bar lampu merentangi sepenuhnya penutup but belakang, dan berdasarkan varian ia turut menampikan spoiler but dan juga panel seakan diffuser pada bahagian bawah bampar.

Pasaran Amerika Syarikat menerima Sentra yang ditawarkan dalam empat varian iaitu S, SV, SR dan SL. Juga berdasarkan pada varian, Sentra ini ditawarkan dengan pilihan rim aloi dari 16 hingga 18-inci, serta warna badan dua tona dengan pilihan Aspen White, Bluestone Pearl, Atlantic Grey dan Energetic Ember yang digandingkan dengan bumbung berwarna hitam.

Manakala untuk pilihan warna badan tunggal, Sentra ini boleh dipilih dengan warna Imperial Bronze, Gun Metallic, Atlantic Gray Metallic, Super Black, Scarlet Ember, Aspen White dan Fresh Powder.

Nissan Sentra 2026 didedahkan di AS – rekaan baharu lebih agresif, 2.0L NA berkuasa 151 PS/198 Nm, CVT

Walaupun ia masih dibina berasaskan platform yang sama, casis Sentra ini telah dipertingkat dengan 6% lebih tegar berbanding model terdahulu. Konfigurasi suspensi topang McPherson di hadapan dan multilink di belakang masih dikekalkan, tetapi talaan pada penyerap hentak telah dibuat semula bagi mengurangkan impak yang kasar ketika melalui bonggol jalan.

Selain itu ia juga diberikan peredam dinamik pada roda stereng yang lebih besar bagi mengurangkan rasa getaran dari jalan, dan sela-sela bukaan pada seluruh kereta telah dikecilkan bagi mengurangkan bunyi dari luar kabin masuk ke dalam.

Sentra pasaran Amerika Syarikat ini hanya datang dengan pilihan enjin petrol MR20DD 2.0 liter empat silinder NA yang menghasilkan kuasa 151 PS dan tork maksima 198 Nm, digandingkan dengan kotak gear automatik CVT Xtronic. Bagi varian SV, SR dan SL, Sentra diberikan mod Sport baharu yang memberikan respon pendikit serta tukaran gear yang lebih tajam.

Model generasi baharu ini turut menerima perubahan rekaan drastik pada bahagian kabin. Ia kini menampilkan skrin berkembar gergasi tanpa perumah masing-masing bersaiz 12.3-inci yang berfungsi sebagai paparan instrumen digital dan juga sistem infotainmen. Nissan mendakwa bahawa skrin sesentuh baharu untuk infotainmen berkenaan kini dua kali lebih cerah dan mudah untuk dilihat dalam pelbagai keadaan pencahayaan.

Tiga liang udara penghembus udara tengah telah berubah dari berbentuk bulat kepada empat segi, namun pada bahagian tengah ia kini adalah panel yang menghimpunkan suis-suis kawalan fizikal untuk skrin infotainmen serta butang lampu isyarat kecemasan. Kawalan untuk sistem penghawa dingin juga masih menggunakan suis-suis fizikal yang mudah untuk digunakan, diletakkan secara sebaris di bawah liang penghembus udara.

Roda stereng baharu juga dipadankan pada Sentra baharu ini yang menampilkan hanya dua jejari dan disertakan dengan suis-suis fizikal untuk kawalan tetapan pada paparan instrumen. Manakala pada bahagian konsol tengah, selain tombol gear konvensional, ia turut menempatkan suis untuk tukaran mod pemanduan, suis brek parkir elektrik, pemegang cawan dan lain-lain.

Antara kelengkapan lain yang diberikan pada Sentra 2026 pasaran Amerika Syarikat ini termasuk 10-beg udara (untuk semua varian), sistem bunyi Bose dengan lapan-pembesar suara, lampu suasana kabin dengan 64-warna, bumbung suria, roda stereng dan tempat duduk hadapan dengan sistem pemanas, pengecas telefon pintar tanpa wayar, serta upholsteri kulit sintetik sentuhan lembut TailorFit.

Ia juga datang dengan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) standard dengan fungsi seperti brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran hadapan, pengelak keluar lorong, bantuan lampu tinggi, pengenal tanda trafik dan cruise control adaptif.

Sentra ini juga menerima perincian baharu iaitu intervensi titik buta yang akan membantu mengelakkan kemalangan ketika pemandu menukar lorong tanpa mengetahui ada kenderaan lain berada di titik buta.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance with us

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services. You can also pay with instalment using Grab PayLater or Shopee SPayLater.

Renew Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required