Nissan Sylphy facelift 2024 diperkenalkan di Amerika Syarikat – rupa lebih segar, 2.0L NA 149 hp/198Nm

Nissan Sylphy facelift 2024 diperkenalkan di Amerika Syarikat – rupa lebih segar, 2.0L NA 149 hp/198Nm

Selepas China, kini giliran Amerika Syarikat pula menerima Nissan Sylphy facelift yang diberikan rupa lebih segar bersama beberapa tingkat taraf perincian. Di negara berkenaan, Sylphy dikenali dengan Sentra, dan ia hadir dalam varian S, SV dan SR, bakal dijual bermula akhir musim panas nanti.

Sentra facelift 2024 ini masih dijana oleh enjin 2.0 liter empat silinder NA yang menghasilkan 149 hp dan tork maksima 198 Nm. Namun menurut Nissan, kotak gear Xtronic CVT pada model baharu ini ditala semula bagi mendapatkan paten tukaran gear lebih lancar serta memberikan lebih penjimatan bahan api.

Gandingkan itu juga kini diberikan sistem Idle Stop Start yang akan mematikan enjin secara automatik ketika dalam keadaan kelajuan pepura, dan menghidupkannya kembali untuk mula bergerak secara automatik, bagi memberikan lebih penjimatan petrol.

Nissan Sylphy facelift 2024 diperkenalkan di Amerika Syarikat – rupa lebih segar, 2.0L NA 149 hp/198Nm

Ini merupakan satu-satunya pilihan unit rangkaian kuasa untuk Sentra di AS. Berbeza dengan pasaran China yang menawarkan pilihan enjin petrol penuh 1.6L NA berkuasa 135 PS/159 Nm, dan juga model hibrid e-Power yang dibekalkan dengan enjin petrol 1.2L hanya untuk mengecas bateri hibird sementara roda hadapan dipacu sepenuhnya dengan motor elektrik berkuasa 136 PS/300 Nm.

Dari segi rupa pula, muka Sentra ini jelas berubah menerusi pemadanan gril dan bampar baharu. Kluster lampu hadapan masih nampak sama, tetapi grafik dalaman telah berubah – tiada lagi jalur LED untuk lampu nyalaan siang berbentuk-J, dan diganti dengan unit yang nampak seperti anak panah pada sebelah dalam.

Kemasan berbentuk-U pada gril V-Motion Sentra ini pula digantikan dengan gril menampilkan elemen melintang seperti Almera facelift dan Serena C28. Perumah lampu kabus berbentuk-L juga kini sudah tiada lagi, dan ia diganti dengan liang udara palsu berbentuk segi tiga.

Nissan Sylphy facelift 2024 diperkenalkan di Amerika Syarikat – rupa lebih segar, 2.0L NA 149 hp/198Nm

Rekaan sisi Sentra 2023 ini masih lagi sama, cuma yang nampak berbeza adalah rekaan set rim baharu yang ditawarkan dari 16-inci sehingga 18-inci, bergantung varian. Manakala di belakang, rekaan yang berbeza hanyalah pada bahagian bawah bampar yang kini diberikan rekaan liang udara palsu yang lebih lebar.

Pada sebelah dalam, tiada sebarang perubahan ketara dapat dilihat. Ia masih menggunakan rekaan papan pemuka, roda stereng rata di bawah, konsol tengah, tempat duduk Zero Gravity dan sebagainya sama seperti model sebelum itu. Secara standard ia dipadankan dengan skrin pelbagai info 4.2-inci, skrin sesentuh infotaimen bersaiz 7-inci dengan sokongan Apple Carplay, Android Auto, Siri Eyes-Free, sistem arahan suara Google Assistant serta empat pembesar suara.

Manakala bagi varian lebih tinggi Sentra SV dan SR, ia diberikan skrin lebih besar bersaiz lapan-inci dan enam pembesar suara, tambahan port USB Type-C serta radio satelite SiriusXM, serta paparan instrumen digital Advanced Drive-Assist Display dengan skrin 7-inci. Bagi model SV Premium pula, Sentra turut datang dengan pemantau sekeliling pintar serta sistem audion premium dari Bose dengan lapan-pembesar suara.

Manakala untuk keselamatan, kesemua varian menerima sistem bantuan pemanduan Nissan Safety Shield 360 merangkumi sistem seperti brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki, amaran titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran keluar lorong, bantuan lampu tinggi dan brek belakang automatik.

Ia juga datang standard dengan amaran pelanggaran pintar hadapan, bantuan haptik stereng dan juga amaran audio bagi memberikan amaran berkesan kepada pemandu. Sistem bantuan keselamatan lain yang turut ditawarkan termasuk cruise control adaptif dan juga amaran pintu belakang yang mengingatkan pemandu agar tidak lupa dengan barang yang diletak di tempat duduk belakang ketika keluar dari kereta.

Nissan Sylphy generasi terkini ini muncul buat pertama kali pada tahun 2019 di China, dan kemudian berjaya menjadi model paling laris di negara berkenaan setahun selepas itu. Model ini pernah dirancang untuk di bawa masuk ke Malaysia oleh Edaran Tan Chong Motors (ETCM) dengan petunjuk diumum pada tahun 2020, namun sehingga sekarang masih lagi tidak nampak petanda sama ada ia akan dilancarkan di sini atau tidak.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required