Nissan Almera nampak kacak? Siap sedia untuk Sylphy generasi baharu untuk tiba di Malaysia

Nissan Almera nampak kacak? Siap sedia untuk Sylphy generasi baharu untuk tiba di Malaysia

Nissan Almera 2020 baharu sahaja didedahkan untuk pasaran Malaysia minggu lalu – belum lagi dilancarkan dan diberikan harga rasmi, tetapi perician setiap varian telahpun diumumkan sepenuhnya dan ia sudah boleh ditempah. Nyata dengan rupa yang begitu kacak dan juga ditawarkan dengan kelengkapan paling komprehensif dalam kelasnya, model ini nampaknya seakan mengubah pandangan orang ramai terhadap Nissan.

Mana tidaknya, Almera yang sebelum ini kelihatan serba tidak kena bersama enjin 1.5L dengan kotak gear 4AT serta tanpa sistem kestabilan elektronik, kini ia diberikan penggayaan yang cukup sporty, dijana enjin terkini HRA0 1.0L tiga-silinder turbo bersama kotak gear CVT Xtronic, dan juga ia dilengkapkan dengan sistem brek kecemasan automatik (AEB) untuk semua varian.

Sebenarnya, Almera hanya ‘pembuka’ untuk perubahan barisan model Nissan yang dibawa oleh Edaran Tan Chong Nissan (ETCM). Mengikut perancangan syarikat berkenaan seperti apa yang kami laporkan sebelum ini, selepas ini mereka akan membawa masuk crossover segmen-B Nissan Kicks, dan juga lawan terus kepada Honda Civic iaitu sedan segmen-C Nissan Sylphy generasi baharu.

Nissan Almera nampak kacak? Siap sedia untuk Sylphy generasi baharu untuk tiba di Malaysia

Rancangan yang didedahkan pada tahun lalu itu sepatutnya akan berlangsung pada tahun ini. Namun disebabkan pendemik Covid-19 serta Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlangsung, ia mungkin akan terlewat sedikit sehingga tahun hadapan.

Jika anda rasa Almera sudah cukup handsome, anda tentu lebih terpikat dengan Sylphy generasi baharu berkenaan yang dikenali dengan kod casis B18. Model tersebut diberikan gril hadapan V-Motion sama seperti model-model baharu Nissan yang lain, bersama lampu hadapan lebih tirus, lengkap dengan lampu nyalaan siang yang diinspirasikan dari boomerang.

Bahagian sisi Sentra ini menampilkan garis bumbung seakan coupe yang landai ke belakang, bersama garis-garis badan yang menonjolkan otot-otot. Bahagian tiang-C menerima kemasan hitam sama seperti Altima/Teana dan Almera, memberikan ilusi seolah-olah bumbungnya direka terapung.

Nissan Almera nampak kacak? Siap sedia untuk Sylphy generasi baharu untuk tiba di Malaysia

Di belakang, lampu dengan grafik boomerang sekali lagi menjadi serlahan utama. Bampar Sentra ini direka dengan kemasan seakan diffuser.

Sylphy B18 ini membuat kemunculan sulungnya di China pada bulan April tahun lalu, dan kemudian dilancarkan di Amerika Syarikat (dikenali sebagai Sentra) pada akhir 2019 dengan rupa lebih garang menampilkan warna badan dua tona, rim lebih sporty dan juga tip ekzos logam sebenar yang diserlahkan.

Model pasaran Amerika Syarikat juga diberikan pelbagai teknologi terkini seperti paparan meter separa digital dengan skrin 4.2-inci dan juga sistem bantuan pemanduan Nissan Safety Shield 360 yang merangkumi kamera pemantau 360 darjah. Jika kita lihat apa yang Almera pasaran Malaysia dapat, boleh dijangka Sylphy juga bakal mendarat di sini dengan kelengkapan penuh ini.

Setakat ini, Nissan Sylphy B18 tampil dengan dua jenis enjin iaitu 1.6 liter HR16DE generasi ketiga, dan juga unit 2.0 liter MR20DE 2.0 liter. Kedua-dua enjin tersebut tidak diberikan pengecas turbo, dan ia dipadankan dengan kotak gear CVT automatik Xtronic.

Sekiranya model ini tiba dipasaran Malaysia, adakah anda rasa ia akan menggugat jualan Honda Civic di pada pasaran tempatan yang kini sentiasa berada di kedudukan pertama?

GALERI: Nissan Sentra 2020 pasaran Amerika Syarikat

GALERI: Nissan Sylphy 2020 pasaran China

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required