Subsidi bersasar RON95 – lebih 99% pemandu guna tidak sampai 300 liter petrol dalam masa sebulan

Subsidi bersasar RON95 – lebih 99% pemandu guna tidak sampai 300 liter petrol dalam masa sebulan

Bermula 30 September ini, harga petrol RON 95 bersubsidi akan ditetapkan pada RM1.99 seliter dengan had penggunaan sebanyak 300 liter sebulan bagi setiap kenderaan persendirian. Menurut Kementerian Kewangan, lebih 99% pemilik kenderaan persendirian di Malaysia menggunakan kurang daripada 300 liter petrol dalam sebulan, sekaligus menunjukkan majoriti rakyat tidak akan terkesan dengan had baru ini.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penetapan had 300 liter ini dibuat berdasarkan data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). Menurut beliau, jika kerajaan meletakkan had hanya pada 140 liter sebulan, sebanyak 90% rakyat akan layak menikmati subsidi. Namun, kerajaan memilih untuk menetapkan had lebih tinggi supaya manfaat dapat dinikmati oleh hampir keseluruhan rakyat.

Data yang dikongsikan oleh kementerian menunjukkan bahawa 90% pengguna kenderaan di Malaysia menggunakan sehingga 140 liter petrol sebulan, manakala mereka dalam kelompok peratusan ke-95 menggunakan sehingga 180 liter. Bagi kumpulan dalam peratusan ke-99 pula, penggunaan bulanan direkodkan sehingga 300 liter – jumlah yang akhirnya dipilih sebagai kuota subsidi.

Subsidi bersasar RON95 – lebih 99% pemandu guna tidak sampai 300 liter petrol dalam masa sebulan

Sebagai gambaran, kuota 300 liter ini membolehkan pemanduan sejauh 203 km sehari bagi Proton Saga (yang menggunakan sekitar 6.7 liter bagi setiap 100 km), 340 km sehari bagi Perodua Axia (4.0 liter per 100 km) dan sejauh 670 km sehari untuk sebuah motosikal Yamaha 135LC.

Datuk Seri Amir Hamzah turut menjelaskan bahawa 300 liter petrol sebulan adalah mencukupi bagi kebanyakan penggunaan harian. Menurutnya, kuota tersebut mampu menampung perjalanan sekitar 170 km sehari. Contoh situasi yang diberi, seseorang yang tinggal di Seremban dan bekerja di Kuala Lumpur atau Putrajaya masih berada dalam anggaran penggunaan harian tersebut.

Walaubagaimanapun, pengguna yang bekerja dalam sektor seperti e-hailing tidak tertakluk kepada had 300 liter ini dan masih boleh mendapatkan petrol RON 95 pada harga RM1.99 seliter. Bagaimanapun, kerajaan akan melaksanakan langkah pengesahan bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak melebihi had ini akan mendapat pengecualian, sebagai usaha membendung penyalahgunaan subsidi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance with us

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services. You can also pay with instalment using Grab PayLater or Shopee SPayLater.

Renew Car Insurance

Durrani Sharom

Mempunyai latar belakang yang pelbagai termasuk sebagai pengurus tapak, pemandu van/lori dan pelbagai lagi, Durrani akhirnya masuk ke dalam bidang penulisan automotif lapan tahun lalu. Apa sahaja yang beroda dan berenjin membuatkan beliau teruja dan beliau percaya 'mesin pengangkutan' ini sepatutnya adalah sesuatu yang mampu memberikan pengalaman menyeronokkan kepada penggunanya.

 
 

Add a comment

required

required