Tiada sebarang halangan berapa banyak kali sehari untuk anda mengisi petrol RON95 di bawah skim subsidi bersasar Budi95 dengan harga RM1.99 seliter bermula 30 September ini.
Menurut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, rakyat Malaysia yang layak menerima subsidi berkenaan boleh mengisi berulang kali petrol RON95 sehari yang diperlukan oleh kenderaan mereka, namun kerajaan akan membuat langkah-langkah sepatutnya untuk mengelakkan penyalahgunaan subsidi tersebut, lapor Malay Mail.
“Anda boleh isi seberapa banyak kali yang anda mahu. Apa yang kami akan pantau adalah tingkah laku luar biasa dan orang yang cuba menyalahgunakan sistem dengan mengisi petrol berulang kali dalam tempoh yang singkat dan menjual semula bahan api. Itu yang kita akan sekat,” katanya dalam satu sesi penerangan kepada media semalam.
“Secara asasnya, mereka tidak boleh membuat isian semula setiap 10 minit. Kami akan pastikan tiada penyalahgunaan,” katanya. Menurutnya lagi dengan pengesahan MyKad di stesen minyak, digabungkan bersama analisis data akan membolehkan kerajaan mengesan corak pengisian yang tidak normal. Jika diperlukan, sistem tersebut akan menghentikan sementara transaksi bersubsidi yang dihubungkan pada kad yang sama sehingga semakan dibuat.
Amir Hamzah berkata selain mengesahkan MyKad di pam atau melalui aplikasi digital dan lesen memandu adalah sah, langkah perlindungan lain yang akan dibuat termasuk dapat memastikan sistem stesen minyak boleh mengesan corak pengisian semula yang tidak normal dan menolak kad pengenalan yang tidak sepadan dengan pangkalan data pendaftaran negara. Beliau menambah bahawa orang ramai perlu melaporkan kad pengenalan yang dicuri atau hilang untuk mengelakkan penyalahgunaan subsidi tersebut.
Beliau juga menambah bahawa matlamat utama Budi95 adalah untuk mencegah ketirisan, di mana ini adalah usaha kerajaan untuk menutup ketirisan dalam pemberian subsidi RON95 yang kini telah meningkat kepada hampir RM20 bilion setahun. Menurut data kementerian kewangan, lebih daripada 20% daripada itu digunakan oleh warga asing, perniagaan dan daripada aktiviti penyeludupan.
“Setiap ringgit yang dijimatkan adalah penting dan jika kita tidak mengawal ketirisan ini, akhirnya rakyat Malaysia yang jujur akan menanggung akibat. Wang yang kita jimatkan akan kembali ke program kebajikan seperti SARA dan banyak lagi,” katanya.
Dalam perkembangan yang sama, semalam kementerian kewangan turut mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaan perkara ini seperti berikut:
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.