Lima buah kereta lumba Proton Waja BTCC kini sedang dijual di New Zealand, harga bermula RM85k!

Lima buah kereta lumba Proton Waja BTCC kini sedang dijual di New Zealand, harga bermula RM85k!

Firma jualan kereta-kereta lumba klasik dari Christchurch, New Zealand iaitu High Performance Classic kini sedang mengiklankan untuk menjual lima unit kereta lumba Proton Waja yang pernah digunakan oleh pasukan Petronas Syntium Proton (Team PSP) di Kejohanan Touring Car British (BTCC).

Menurut High Performance Classic, dua dari lima buah Waja tersebut merupakan unit awalan yang dibina bagi berlumba ketika musim pertama Team PSP dalam BTCC iaitu pada tahun 2002 dan 2003 yang dipandu oleh dua orang pemandu Britain iaitu David Leslie dan Phil Bennett.

Manakala tiga unit selebihnya adalah versi tingkat taraf bagi perlumbaan BTCC musim 2004, dipandu oleh pelumba Afrika Selatan iaitu Shaun Watson-Smith, dan juga pelumba Malaysia pertama yang berjaya melangkah ke perlumbaan Touring Car ulung tersebut iaitu Farique Hairuman yang berasal dari Johor.

Malah berdasarkan dari pelekat-pelekat yang masih ada pada badan Waja berkenaan, ada unit-unit yang pernah dibawa untuk berlumba di Kejohanan Touring Car Asia (ATCC) bagi musim 2005 dan 2006, serta melibatkan seorang lagi pelumba Malaysia iaitu Mashlino Buang.

Lima buah kereta lumba Proton Waja BTCC kini sedang dijual di New Zealand, harga bermula RM85k!

OULTON PARK CIRCUIT, UNITED KINGDOM – MAY 23: Fariqe Hairuman, Petronas Syntium Proton, Proton Impian during the Oulton Park at Oulton Park Circuit on May 23, 2004 in Oulton Park Circuit, United Kingdom. (Photo by Malcolm Griffiths / LAT Images)

Proton Waja BTCC ini merupakan jentera lumba yang dibina pada era kejohanan berkenaan menggunakan undang-undang BTC-Touring bagi kategori utama. Jadi ia diasaskan dari badan Waja sebenar yang diproduksi di kilang Proton Shah Alam. Namun projek ini sebenarnya tidak melibatkan Proton, jadi Team PSP yang ketika itu berpengkalan di UK membeli Waja berkenaan dari pengedar Proton di sana (Waja dikenali sebagai Proton Impian pada pasaran tersebut) bagi ditranformasikan sebagai kereta lumba.

Untuk tampil sebagai sebuah jentera lengkap dihomologasikan dengan regulasi BTC-Touring tersebut, semua komponen kabin telah dibawa keluar dan kerangka badan dikeraskan termasuk pemadanan roll cage yang memenuhi spesifikasi.

Bahagian luaran Waja ini masih kekal sama seperti Waja dan masih menampilkan panel-panel badan, lampu-lampu, bampar dan sebagainya yang sama seperti kereta di bilik pameran, namun ia dibenarkan untuk menerima kit aero yang terdiri dari spoiler hadapan, fender hadapan dan belakang serta skirt sisi lebih lebar, dan juga spoiler gergasi pada penutup but belakang.

Enjin Renault F4P yang dibekalkan sebagai enjin standard produksi untuk Waja varian 1.8 liter masih lagi dikekalkan, namun ia telah dibina semula oleh firma pembangunan enjin perlumbaan UK iaitu Montune, termasuk kapasitinya dipertingkat kepada 1,996 cc. Enjin ini masih beroperasi sebagai enjin Naturally Aspirated (NA) dan menghasilkan kuasa sekitar 280 PS.

Lima buah kereta lumba Proton Waja BTCC kini sedang dijual di New Zealand, harga bermula RM85k!

Kemudian ia menerima kelengkapan sama yang wajib digunakan oleh semua pasukan bertanding dalam kelas BTC-Touring yang ditetapkan oleh penganjur perlumbaan tersebut iaitu TOCA, termasuk kotak gear perlumbaan manual enam-kelajuan dari Xtrac bersama set klac karbon AP Racing, hub roda TOCA dan set brek karbon AP Racing, set rim perlumbaan OZ 17-inci yang menggunakan hanya satu nat pengikat, kotak komputer unit pengurusan enjin TOCA dan lain-lain.

High Performance Classic menyatakan bahawa tiga unit Waja berkenaan masih lagi dalam keadaan asal selepas dari perlumbaan terakhir masing-masing. Manakala ada satu unit dimana semua komponennya telah ditanggalkan sehingga kerangka kosong, bersedia untuk direstorasi semula.

Dan untuk unit terakhir, ia juga telah ditanggalkan semua komponen, namun kerangka badannya telah melalui proses pembersihan media blast, dicat semula dan komponen-komponen utama juga telah dipasang semula, cuma tinggal beberapa pemasangan yang perlu disiapkan bagi melengkapkan kereta tersebut.

Lima buah kereta lumba Proton Waja BTCC kini sedang dijual di New Zealand, harga bermula RM85k!

Bersama-sama kereta-kereta ini, High Performance Classic turut menyimpan dua set lengkap komponen-komponen bagi membina semula enjin (termasuk komponen seperti omboh, rod penghubung, galas utama, spring injap dan pelbagai lagi).

Firma itu turut mempunyai alat-alat ganti lain yang boleh digunakan pada kereta spesifkasi 2004 termasuk cakera brek AP Racing, set jek udara, paparan instrumen Pi yang telah direstorasi, komputer riba yang lengkap dengan perisian yang boleh berinteraksi dengan kotak komputer enjin, dua tangki bahan api perlumbaan Premier baru, set galas roda baru, pelbagai klac dan dua kotak gear yang telah dibina semula.

Malah High Performance Classic turut mempunyai set keseluruhan lukisan kejuruteraan asli untuk semua komponen yang telah difabrikasi dan dibina untuk kereta-kereta lumba Waja berkenaan, yang semestinya diperlukan untuk sebarang kerja-kerja baik pulih atau restorasi. Semua sejarah perlumbaan jentera-jentera ini juga telah lengkap didokumenkan.

Harga dan kondisi setiap Waja BTCC tersebut adalah seperti berikut:

  • Kereta nombor #20 spesifikasi 2002 dipandu Phil Bennett tiada transmisi dan penukar gear dan kotak komputer enjin berharga NZD$35,000 (RM85k)
  • Kereta nombor #15 spesifikasi 2002 dipandu David Leslie tiada kotak komputer enjin dan kotak gear berharga NZD$42,000 (RM102k)
  • Kereta nombor #115 spesfikasi 2003 tiada kotak komputer enjin dan panel suis utama berharga NZD$53,000 (RM129k)
  • Kereta spesifikasi 2004 lengkap tetapi semua komponen sudah ditanggal serta diberikan dengan banyak alat ganti baharu berharga NZD$65,000 (RM158k).
  • Kereta spesifikasi 2004 yang telah dicat semula serta 80% komponen yang dibina semula telah dipasang berharga NZD$76,000 (RM185k)

Harga yang dinyatakan tidak termasuk kos penghantaran dan juga cukai-cukai yang akan dikenakan bergantung negara pembeli. High Performance Classic boleh menguruskan penghantaran ke mana-mana negara di dunia.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance with us

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services. You can also pay with instalment using Grab PayLater or Shopee SPayLater.

Renew Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required