Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah mengumumkan pelantikan Takashi Sakamaki sebagai CEO baharu berkuatkuasa hari ini. Sakamaki menggantikan Shinya Ikeda yang sebelum ini memegang jawatan yang sama sejak Oktober 2021 yang mencatatkan beberapa kejayaan termasuk pelancaran Triton generasi keenam serta Xpander yang dipertingkatkan.
CEO baharu MMM berpengalaman luas di peringkat antarabangsa lebih daripada 20 tahun dalam industri automotif, termasuk dalam strategi perniagaan, operasi eksport dan pembangunan pasaran di pasaran utama seperti China, Indonesia dan Mexico. Sebelum memegang jawatan baharu ini, Sakamaki pernah menyandang beberapa jawatan kanan yang berkaitan dengan pembangunan perniagaan, pengurusan eksport CBU dan pengembangan bekalan OEM bersama pengeluar kenderaan global.
“Adalah satu penghormatan untuk memimpin Mitsubishi Motors Malaysia dalam masa yang begitu dinamik bagi industri automotif. Dengan warisan kukuh Mitsubishi Motors di Malaysia dan dedikasi pasukan berbakat kami, saya yakin kami berada pada kedudukan yang baik untuk mengharungi cabaran baharu yang muncul dan merebut peluang yang ada.
“20 tahun yang lalu, MMM memulakan usaha untuk mentakrifkan semula mobiliti di Malaysia. Hari ini, kami meraikan bukan sahaja perjalanan kami, tetapi juga kepercayaan setiap pemandu yang memilih Mitsubishi. Ketika kami melihat ke hadapan, komitmen kami tetap teguh – untuk menyediakan keselamatan, perlindungan dan keselesaan yang boleh dipercayai oleh pelanggan dan komuniti kami,” katanya.
Tambah Sakamaki, pihaknya akan terus berusaha untuk menawarkan gaya hidup mobiliti yang memuaskan dan membangkitkan semangat pengembaraan, semuanya dibina berasaskan teknologi yang boleh dipercayai.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.