Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) pengedar rasmi bagi kenderaan Mitsubishi di Malaysia, telah mengumumkan pelantikan Shinya Ikeda sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu syarikat berkenaan. Perlantikan tersebut adalah bagi menggantikan Tomoyuki Shinnishi yang memegang jawatan berkenaan sejak Oktober 2016. Ikeda-san memulakan tugas baharunya di Malaysia pada 11 Oktober lalu.

Memulakan kerjayanya di Jepun pada tahun 1995, dan kemudian menyertai Mitsubishi Corporation pada tahun 2008 dengan tugasan pertamanya mengendalikan pelaburan perniagaan automatif di Malaysia. Dari Mac 2009 hingga Mei 2012, Ikeda memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) dan Pengurus Besar di MMM, dan mengetuai pembangunan perniagaan baharu. Beliau juga pernah mengendalikan pembangunan perniagaan bagi Mitsubishi Corporation di beberapa negara lain seperti di Indonesia, Rusia dan Jerman.

“Saya teruja menyertai pasukan Mitsubishi Motors Malaysia. Syarikat ini kian berkembang dan kini menjadi salah satu jenama automotif terkemuka di negara ini. Seperti yang diumumkan dalam Mitsubishi Motors Corporation (MMC) Mid-Term Business Plan tahun lalu, MMC akan terus memberi tumpuan kepada pasaran ASEAN dan khususnya Malaysia kerana megara ini merupakan salah satu pasaran terpenting di dunia untuk memperluaskan lagi jenama Mitsubishi.

“Saya berharap dapat bekerjasama dengan pasukan untuk menyumbangkan pengetahuan dan pengalaman yang saya ada. Saya juga gembira dapat kembali ke Malaysia kerana negara ini mempunyai pelbagai makanan dan budaya serta orang-orang yang berbakat dan berpotensi tinggi,” kata Ikeda.

Di bawah kendalian CEO terdahulu, Shinnishi, MMM telah memperkenalkan beberapa model termasuk Triton baharu dan crossover tujuh-tempat duduk Xpander. Malahan Xpander telah menjadi MPV bukan-nasional No.1 di sini serta MMM juga menduduki tangga ketiga bagi jenama bukan-nasional di Malaysia.