Sebelum pelaksanaan program Budi Madani RON 95 (Budi95), kerajaan memaklumkan penjimatan yang boleh dicapai adalah antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun dengan memberikan subsidi petrol hanya kepada warga negara yang memiliki MyKad dan lesen memandu sah, dan bukannya kepada warga asing serta sektor komersial.
Dengan sektor komersial kebanyakannya menggunakan diesel — yang menerima subsidi di bawah Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) 2.0 — pertanyaan seterusnya adalah, berapa ramai warga asing yang dikecualikan daripada menikmati petrol bersubsidi ini?
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menjelaskan dalam sebuah sidang media hari ini, berdasarkan rekod Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), terdapat seramai 878,279 warga asing, termasuk lebih 18,000 pemastautin tetap yang mempunyai lesen memandu Malaysia, lapor Malay Mail.
“Kelompok ini tidak layak untuk menikmati subsidi minyak. Ini bermakna, kerajaan sebelum ini telah menyediakan subsidi untuk hampir 900,000 warga asing. Daripada sini, kita akan berjaya menjimatkan beberapa bilion ringgit setahun,” jelas beliau, dengan menambah sekitar 0.88% daripada hampir 17 juta warga Malaysia yang layak mungkin akan menghadapi masalah menikmati subsidi berkenaan kerana perincian lesen mereka tidak dikemaskini untuk selari dengan maklumat MyKad.
Tiga kelompok utama yang terkesan adalah pemegang lesen yang mendaftar menggunakan dokumen pengenalan lama (seperti K/P sebelum MyKad atau sijil lahir), pemegang lesen memandu pasukan pertahanan atau polis yang belum ditukar kepada Competent Driving Licence (CDL), serta mereka yang ada kesalahan dengan nombor kad pengenalan.
“Untuk menyelesaikan ini, JPJ telah membuka kaunter di semua cawangannya di seluruh negara untuk warga Malaysia dalam kategori yang disebutkan untuk mereka mengemaskini maklumat. Mereka perlu hadir sendiri dan pengesahan cap jari perlu dilakukan,” ujar Loke, yang menambah kemaskini itu akan dibuat secara percuma.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.