Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberitahu bahawa kelulusan segera akan diberikan kepada permohonan lengkap yang dihantar oleh mereka yang layak untuk program Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS). Sekarang ini, program tersebut meliputi 33 jenis kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan, di bawah SKDS 1.0 dan 2.0.
Menurut menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, surat kelulusan akan dikeluarkan segera kepada pemohon yang layak, membenarkan mereka untuk memohon fleet cars melalui sistem sama. “Proses permohonan adalah mudah dan pantas kerana syarikat hanya perlu mengisikan maklumat tertentu dan pengesahan boleh dibuat secara segera melalui integrasi dengan sistem Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” kata beliau dalam satu kenyataan.
Armizan turut menggesa syarikat yang layak untuk SKDS ini supaya membuat permohonan dengan segera. Sehingga 23 Jun lalu, kementerian itu memberitahu jumlah kenderaan pengangkutan darat awam dan barangan yang telah diluluskan untuk subsidi diesel di bawah SKDS berjumlah 226,957, termasuk 75,541 syarikat. Laporan sebelum ini menyatakan kenderaan yang sepatutnya layak ada sekitar 389,000.
Beliau turut menambah, bagi pengendali pengangkutan awam dan komersial yang sudah menerima kelulusan SKDS tetapi masih belum mendapat fleet card, mereka cuma perlu menyimpan resit pembelian diesel bagi membolehkan bayaran balik tunai dibuat melalui kementerian kewangan.
“Bagi kelulusan yang diperoleh sehingga 30 Jun ini, syarikat pengangkutan perlu memohon bayaran tuntutan balik kadar perbelanjaan atas harga subsidi melalui bukti resit pembelian sehingga syarikat pengangkutan menerima fleet card daripada syarikat-syarikat minyak yang terpilih,” kata Armizan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.