Kementerian Kewangan (MoF) mengumumkan bahawa harga runcit petrol RON 95 tanpa subsidi ditetapkan pada kadar RM2.60 seliter. Harga ini akan kekal sepanjang bulan Oktober 2025, dan terpakai untuk mereka yang tidak layak menerima manfaat yang diberikan melalui subsidi bersasar RON 95.
Sementara itu, menerusi program Budi95 yang bermula sepenuhnya hari ini, ia membolehkan warganegara Malaysia menikmati harga bersubsidi petrol RON95 pada RM1.99 seliter. Menurut MoF, di bawah Budi95, rakyat dapat menikmati manfaat subsidi sebanyak RM0.61 seliter dan berdasarkan had kelayakan 300 liter, manfaat subsidi tersebut dapat mencecah RM183 sebulan bagi setiap individu.
Bagi kenderaan komersil dengan enjin petrol untuk sektor pengangkutan awam darat dan sektor pengangkutan barangan darat yang layak menerima petrol RON 95 bersubsidi, mereka akan membayar RM2.05 seliter bagi bahan api tersebut seperti yang digariskan di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).
Manakala untuk pemandu e-hailing, kerajaan akan bekerjasama dengan pengendali e-hailing (EHO) untuk mengenal pasti pemandu yang layak menerima subsidi bahan api tambahan. Kementerian Kewangan, bersama-sama dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), akan memuktamadkan proses permohonan untuk subsidi tambahan tersebut dengan pihak EHO minggu ini.
Harga siling baharu RON 95 untuk rakyat Malaysia menggantikan harga siling terdahulu iaitu RM2.05 seliter, yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia pada Februari 2021. Pengumuman harga tersebut turut mendedahkan harga runcit mingguan bagi semua bahan api lain untuk tempoh 30 September hingga 8 Oktober 2025, iaitu tempoh yang lebih panjang berikutan pelaksanaan Budi95 yang menyebabkan minggu sebelumnya lebih singkat. Tiada perubahan pada harga pam petrol RON 97 sehingga 8 Oktober, maka bahan api tersebut kekal pada harga RM3.21 seliter seperti minggu lalu.
Begitu juga dengan harga diesel yang turut tidak berubah, iaitu Euro 5 B10 dan B20 kekal pada RM2.93 seliter, manakala Euro 5 B7 yang berharga 20 sen lebih seliter, masih kekal pada RM3.13 seliter. Harga runcit bahan api diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan juga tidak berubah iaitu RM2.15 seliter.
Secara umum, harga-harga ini telah berkuat kuasa sejak jam 12.01 tengahmalam tadi sehingga Rabu, 8 Oktober, apabila kemas kini harga bahan api yang berikut dijadualkan bakal diumumkan. Ini merupakan edisi ke-40 format penetapan harga bahan api mingguan bagi tahun ini, dan yang ke-351 secara keseluruhan sejak format tersebut diperkenalkan pada awal 2019.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.