Mungkin ramai yang tidak mengetahui, Renault Captur merupakan SUV segmen-B yang paling laris di Eropah, yang bersaing dengan model seperti Nissan Juke, Peugeot 2008 dan Opel Mokka.
Walau bagaimana pun, Asia tetap didominasi produk buatan Asia sendiri, di mana Honda HR-V telah menguasai sebahagian pasaran di dunia. Di Malaysia, ia telah menarik perhatian walau pun bukan yang pertama di pasaran (sebelum kewujudan 2008 dan Ford EcoSport). Malah HR-V juga bakal menyertai Mazda CX-3 yang memiliki paras rupa lebih anggun, yang dilihat dari pra-pelancarannya, bakal mencipta fenomena yang tersendiri.
Terdapat juga SUV dari segmen-C berada dalam lingkaran ini. Termasuklah Mitusbishi ASX yang baru-baru ini diperkenalkan dengan wajah baharu, berharga hanya RM105k. Manakala Kia Sportage 2WD boleh dimiliki dengan harga RM119k (termasuk insurans). Begitu juga dengan Mazda CX-5 dengan harga yang tidak jauh tinggi iaitu RM126k. Kedua-dua segmen ibarat bersaing sesama sendiri dengan nilai harga yang ditawarkan.
Diperkenalkan pada Julai lalu, Captur bakal dilancarkan sebelum 2015 berakhir. Tiga bulan yang lalu, ia ditawarkan dengan harga jangkaan yang kompetitif iaitu antara RM118k-RM123k seperti mana yang ditetapkan oleh Renault, tetapi Ringgit Malaysia telah mengalami penyusutan. Harap Captur tidak akan terkesan memandangkan ia antara produk menarik dalam pasaran kita.