Perodua umum tempahan untuk Bezza dibuka

Open Booking 16 July 2016

Perodua telah mengumumkan secara rasmi tempahan untuk model sedan pertama mereka – Bezza – akan dibuka bermula Sabtu ini, 16 Julai 2016.

Pelanggan yang berminat untuk menempah model berkenaan bolehlah mengunjungi mana-mana 181 bilik pameran Perodua seluruh negara pada 16 Julai ini, serta turut berpeluang untuk meraikan sambutan Hari Raya menerusi acara rumah terbuka Aidilfitri Perodua yang turut diadakan pada hari tersebut.

“Penantian sekian lama bakal berakhir tidak lama lagi setelah kami melancarkan sedan kami sendiri pada 21 Julai 2016 nanti. Sedan ini merupakan kemuncak kerjasama teknologi dan peralihan teknologi selama sedekad dengan rakan kami Daihatsu Motor Co. Ltd,” kata Presiden dan CEO Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

“Dengan tunjuk ajar dari mereka membolehkan kami sekarang berdiri di atas kaki sendiri dengan model baharu ini dan ia merupakan sebuah sedan yang memenuhi keperluan setiap rakyat Malaysia,” kata beliau.

“Perodua sedan baharu, yang dinamakan Bezza, merupakan model transformasi kedua kami (selepas Axia) dan merupakan kereta yang bersedia untuk pasaran global dengan varian 1.3L Advance dilengkapi dengan ciri keselamatan terkini,” kata Aminar.

Perodua Bezza di produksi di kilang Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd yang diikitiraf sebagai kilang EEV, yang dilengkapi dengan fasiliti termoden yang menggunakan kadar automasi melebihi 75%.

ik-perodua-bezza-fb

Menurut Aminar nama sedan ini diinspirasikan dari perkataan Bahasa Malaysia iaitu ‘Beza’. Dan ini “merupakan apa sebenarnya sedan EEV pertama Perodua – yang jelas berbeza.” Huruf ‘Z’ berkembar dalam nama Bezza ini juga melambangkan angka 22 – Perodua telah pun berada dalam pasaran selama 22 tahun pada tahun ini.

Tiga model Bezza akan ditawarkan semasa pelancarannya nanti iaitu model asas 1.0 liter Standard G, model pertengahan 1.3 liter Premium X dan model tertinggi 1.3 liter Advance.

Model Standard G dan Premium X hadir dengan pilihan transmisi sama ada lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik, manakala model Advance hanya hadir dengan kotak gear automatik. Ini menjadikan Bezza mempunyai lima varian untuk dipilih secara keseluruhan.

Enjin 1KR-VE pada Bezza berbeza dari enjin 1KR-DE2 pada Axia kerana ia dilengkapi dengan sistem VVT-i (sebelum ini dikenali sebagai DVVT), mempunyai nisbah mampatan yang lebih tinggi, daya geseran yang dikurangkan serta pembakaran dalam kebuk yang lebih efisien. Hasilnya enjin Bezza mampu menjana 67 hp pada 6,000 rpm/91 Nm pada 4,000 rpm berbanding Axia yang berkuasa 66 hp pada 6,000 rpm/90 Nm pada 3,600 rpm.

Enjin 1.3 liter Bezza juga berbeza dari enjin 1.3 K3-VE Myvi (90 hp/117 Nm). Bezza menggunakan enjin 1NR-VE, (enjin yang sama menjana Toyota Avanza 1.3L) berkuasa 94 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 121 Nm pada takat 4,000 rpm.

Varian Advance turut dilengkapi Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC) serta Bantuan Mula Mendaki (HSA) yang akan menahan sedan ini selama dua saat dari tergelongsor kebelakang selepas pedal brek dilepaskan semasa mula untuk mendaki jalan curam.

Kami telah pun menguji secara ringkas Perodua Bezza ini dilitar ujian Perodua di Rawang dan anda boleh membaca ulasannya pada pautan ini. Fakta perincian awalan untuk model ini juga boleh anda baca dipautan ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required