Perodua Bezza – perincian spesifikasi awalan yang perlu anda tahu berkenaan sedan pertama Perodua ini

Sudahkah anda membaca ulasan pandu uji Perodua Bezza yang bakal dilancarkan tidak lama lagi ini? Di sini, kami turut memberikan anda beberapa perincian ringkas berkenaan spesifikasi awalan D63D – sedan pertama keluaran Perodua ini.

Bezza dibina berasaskan platform Axia, jadi ia bukan sebuah “Myvi Sedan” seperti yang dijangkakan sebelum ini. Dimensinya diukur dengan 4,150 mm panjang, 1,620 mm lebar dan 1,510 mm tinggi, bermaksud ia 510 mm lebih panjang dari Axia, tetapi mempunyai lebar dan tinggi yang sama dengan model hatchback berkenaan. Jarak roda asal Axia berukuran 2,455 mm juga masih kekal sama.

Sebagai perbandingan, Myvi dengan dimensi 3,685 mm panjang, 1,665 mm lebar dan 1,570 mm tinggi, secara jelasnya 465 mm lebih pendek tetapi 45mm lebih lebar dan 60mm lebih tinggi berbanding Bezza. Jarak roda Myvi juga diukur 15 mm lebih pendek dengan ukuran 2,440 mm.

Perbandingan dengan sedan saingan terdekatnya – Proton Saga – juga tidak boleh dielakkan. Saga diukur dengan dimensi 4,278 mm panjang, 1,680 mm lebar dan 1,520 mm tinggi. Untuk memudahkan anda membayangkannya, dimensi Saga adalah 128 mm lebih panjang, 60 mm lebih lebar dan 20 mm lebih tinggi. Jarak roda Saga pula diukur pada 2,465 mm iaitu 10 mm lebih panjang dari Bezza.

IMG_2016-07-14 19:08:26

Tiga model Bezza akan ditawarkan semasa pelancarannya nanti iaitu model asas 1.0 liter Standard G, model pertengahan 1.3 liter Premium X dan model tertinggi 1.3 liter Advance.

Model Standard G dan Premium X hadir dengan pilihan transmisi sama ada lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik, manakala model Advance hanya hadir dengan kotak gear automatik. Ini menjadikan Bezza mempunyai lima varian untuk dipilih secara keseluruhan.

Kedua-dua enjin yang dilengkapi pada Axia merupakan enjin baharu yang pertama kali digunakan oleh Perodua. Enjin 1KR-VE pada Bezza berbeza dari enjin 1KR-DE2 pada Axia kerana ia dilengkapi dengan sistem VVT-i (sebelum ini dikenali sebagai DVVT), mempunyai nisbah mampatan yang lebih tinggi, daya geseran yang dikurangkan serta pembakaran dalam kebuk yang lebih efisien. Hasilnya enjin Bezza mampu menjana 67 hp pada 6,000 rpm/91 Nm pada 4,000 rpm berbanding Axia yang berkuasa 66 hp pada 6,000 rpm/90 Nm pada 3,600 rpm.

Enjin 1.3 liter Bezza juga berbeza dari enjin 1.3 K3-VE Myvi (90 hp/117 Nm). Bezza menggunakan enjin 1NR-VE, (enjin yang sama menjana Toyota Avanza 1.3L) berkuasa 94 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 121 Nm pada takat 4,000 rpm.

Perodua mendakwa model automatik Premium X mampu mencatat penggunaan bahan api 21 km untuk setiap liter, dan Standard G manual pula mencatatkan 22.8 km untuk setiap liter. Model 1.0 liter Bezza juga dikatakan lebih jimat berbanding model 1.0 liter Axia di mana varian automatik Bezza 1.0 liter mampu mencatatkan penggunaan bahan api 21.3 km setiap liter dipandu dengan mod ECE, berbanding Axia yang hanya mencatatkan 20.1 km untuk setiap liter petrol.

Berat keseluruhan Bezza ditimbang pada 865 kg untuk model asas 1.0 liter manual Standard G dan hanya 930 kg untuk model Advance 1.3 Auto.

Ruang kargo Bezza antara ciri yang mengagumkan, ia berkapasiti 508 liter. Berapa besar 508 liter ini? Secara ringkas, ia dua kali lebih besar dari Axia yang hanya berkapasiti 260 liter dan 95 liter lebih besar berbanding ruang but Proton Saga (413 liter).

Tempat duduk belakang Bezza boleh dilipat dengan nisbah 60:40 bagi memberikan ruang kargo yang lebih besar pada but belakang.

Kesemua varian dilengkapi dengan dua beg udara, ABS dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.

Perodua turut menampilkan ciri sistem kunci pintar dan butang penghidup enjin buat pertama kali menerusi Bezza Premium X dan Advance, dan turut dilengkapi dengan port kuasa USB (5V/2A) untuk penumpang belakang yang diletakkan di hujung bahagian belakang konsol tengah.

Varian Advance turut dilengkapi Kawalan Stabiliti Kenderaan (VSC) serta Bantuan Mula Mendaki (HSA) yang akan menahan sedan ini selama dua saat dari tergelongsor kebelakang selepas pedal brek dilepaskan semasa mula untuk mendaki jalan curam.

Varian Advance menerima pemain audio utama 2-Din dengan skrin sesentuh beserta sistem Mirror Link, manakala varian Premium dan Standard G hanya dilengkapi sistem audio konvensional.

Kami akan memberikan lebih perincian Perodua Bezza ini sedikit masa lagi, jadi teruskan setia mengikuti paultan.org.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required