GWM Haval H6 HEV 2024 di Malaysia – dianggar bawah RM145k, 1.5 Turbo Hybrid, lawan terus Proton X70

GWM Haval H6 HEV 2024 di Malaysia – dianggar bawah RM145k, 1.5 Turbo Hybrid, lawan terus Proton X70

Isnin lalu GWM Malaysia telahpun mengumumkan bahawa tempahan untuk SUV segmen-C Haval H6 Hybrid sudah pun mula dibuka. Dan kali ini kami bawakan galeri penuh model berkenaan dan beberapa maklumat tambahan sebelum ia dilancarkan secara rasmi di sini tak lama lagi.

Sebelum ini syarikat tersebut sudahpun memberitahu bahawa Haval H6 ini akan dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) menerusi kilang EPMB yang terletak di Melaka. Namun kami diberitahu, buat permulaan 100 unit pertama Haval H6 pasaran Malaysia ini akan ditawarkan sebagai model yang diimport sepenuhnya (CBU) terlebih dahulu.

Ia akan dijual dalam satu varian sahaja di Malaysia, iaitu varian spesifikasi tinggi Ultra. Seperti yang diumumkan tempoh hari, harga anggaran Haval H6 Hybrid ini adalah di bawah RM145,000.

GWM Haval H6 HEV 2024 di Malaysia – dianggar bawah RM145k, 1.5 Turbo Hybrid, lawan terus Proton X70

Model ini dihasilkan dengan dimensi panjang 4,683 mm, lebar 1,886 mm dan tinggi 1,724 mm. Jarak rodanya pula adalah sejauh 2,738 mm, lebih jauh berbanding saingan-saingan terdekatnya seperti Proton X70 (2,670 mm), Honda CR-V (2,660 mm) dan Mazda CX-5 (2,700 mm).

Manakala untuk unit rangkaian kuasa, ia menggabungkan enjin empat silinder 1.5 liter turbo berkuasa 150 PS/230 Nm dengan motor elektrik 177 PS/300 Nm yang disepadukan dalam transmisi DHT dua kelajuan. Ini membolehkan kuasa keseluruhan yang dibekalkan adalah 243 PS dan 530 Nm, dengan penggunaan bahan api di sekitar 5.2l/100 km.

Antara perincian standard yang diberikan pada Haval H6 Hybrid Ultra pasaran Malaysia ini termasuk lampu hadapan LED matrix, gril hadapan ‘Star Matrix’, bumbung sutina panaromik dan rim aloi 19-inci dalam kemasan hitam berkilat.

GWM Haval H6 HEV 2024 di Malaysia – dianggar bawah RM145k, 1.5 Turbo Hybrid, lawan terus Proton X70

Manakala pada bahagian kabin, ia menerima sistem pendingin hawa dua-zon, liang penghembus kabin belakang, cermin pandang belakang auto-malap, pintu tailgate bantuan kuasa, pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, tempat duduk ‘bos’ untuk penumpang hadapan dengan suis larasan pada bahagian bahu, paparan head-up dan sistem audio dengan lapan pembesar suara.

Tidak seperti unit yang dipertontonkan di Malaysia tahun lalu, unit yang kami lihat hari ini menampilkan warna tema kabin berbeza iaitu hitam-kelabu cerah dengan kemasan-kemasan perapi berwarna seakan tembaga.

Untuk kelengkapan keselamatan pula, ia diberikan enam-beg udara, kamera 360-darjah, sistem bantuan parkir, dan juga sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi seperti brek kecemasan automatik, cruise control adaptif kelajuan penuh, bantuan kesesakan trafik, amaran lintasan trafik belakang serta bantuan tukar lorong.

Dalam pengumuman yang dibuat dua hari lalu, GWM Malaysia turut menyatakan bahawa pelanggan yang menempah (dengan yuran tempahan RM1,000) akan menerima ganjaran istimewa bernilai RM3,000, serta ditawarkan dengan waranti enjin selama 10-tahun atau sejuta kilometer (yang mana sampai dahulu) dan juga waranti untuk sistem hibrid elektrik selama 8-tahun atau sejuta kilometer (yang mana sampai dahulu).

Kedua-dua waranti berkenaan hanya sah untuk pemilik pertama dan didaftarkan sebagai kenderaan persendirian sahaja. Untuk sistem hibrid elektrik tersebut komponen yang terlibat dalam waranti yang ditawarkan adalah termasuk kotak gear Dedicated Hybrid Transmission (DHT), bateri dan kabel voltan tinggi dan juga kotak komputer kawalan transmisi (TCU).

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required