
Tahun lalu Kia telah memperkenalkan van EV PV5 dengan bentuk yang agak funky, diletakkan sebagai model pertama dalam barisan siri Platform Beyond Vehicle (PBV). Dan kini model kedua PBV pula diperkenalkan – ini dia Kia PV7, van EV dengan rupa seakan PV5, tetapi dengan saiz yang lebih besar.
Van ini dihasilkan dalam dua varian badan iaitu Passenger dan Cargo. Untuk PV7 Passenger, ia dihasilkan untuk kegunaan mengangkut penumpang – sesuai digunakan sebagai kenderaan bagi membawa kru, kenderaan untuk servis shuttle dan sewaan, pelancongan atau digunakan sebagai kenderaan persendirian bagi membawa keluarga. Manakala PV7 Cargo pula direka untuk kegunaan perniagaan seperti logistik, penghantaran, flit, serta boleh digunakan untuk operasi perniagaan kecil dan sederhana.
Sama seperti PV5, PV7 ini turut dibangunkan menerusi platform E-GMP.S. Namun ia menerima asas elektrikal yang lebih berkuasa iaitu 800-volt, berbanding PV5 yang masih menggunakan asas elektrikal 400-volt.
Oleh itu PV7 ini boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 350 kW, dan cas dari 10-80% boleh dipenuhkan dalam masa sekitar 20 minit. Kia turut menyatakan bahawa PV7 merupakan model pertamanya yang diberikan dua port pengecas, menampilkan port AC/DC utama terletak di hadapan, dan satu lagi port opsyenal AC di belakang.
Ketika dilancarkan PV7 ini ditawarkan dengan pilihan bateri nikel kobalt mangan (NMC) sama ada berkapasiti 71.5 kWj atau 96.2 kWj, di mana dengan pek bateri paling besar membolehkan PV7 dalam versi Cargo boleh bergerak sejauh 460 km menerusi kitaran ujian WLTP.
Buat masa sekarang PV7 hanya ditawarkan dengan unit rangkaian kuasa pacuan roda belakang dengan hanya satu motor elektrik berkuasa 272 PS dan tork maksima 420 Nm. Namun selepas ini Kia bakal memperkenalkan PV7 dalam versi pacuan semua roda dengan satu lagi tambahan motor elektrik diberikan untuk memacu roda hadapan.
Kia PV7 ini menampilkan saiz panjang 5,350 mm, lebar 1,995 mm, tinggi 1,990 mm dan jarak roda sejauh 3,500 mm. Sebagai perbandingan, Kia PV5 dihasilkan dengan saiz panjang 4,695 mm (standard) atau 4,890 mm (panjang), lebar 1,895 mm, ketinggian 1,905 mm (standard) atau 2,200 mm (tinggi) dan jarak roda sejauh 2,995 mm. Kia menyatakan bahawa PV7 turut akan diperkenalkan dalam versi bumbung lebih tinggi dan jarak roda lebih jauh selepas ini, di mana secara keseluruhan sekurang-kurangnya 23 kombinasi badan akan ditawarkan.
Bagi versi Passengger, ia menampilkan pilihan konfigurasi tujuh-, sembilan- atau 11-tempat duduk. Versi dengan tujuh-tempat duduk direka agar ia mudah dibuka dengan menerusi rel, memberikan praktikaliti yang lebih fleksibel. Manakala versi sembilan tempat duduk pula direka dengan tempat duduk baris paling belakang (baris ke-4) yang mudah dicabut terus bagi memberikan ruang largo belakang.
Kabin belakang bagi PV7 Passenger ini juga menerima corong penghawa dingin belakang tersendiri untuk memberikan lebih keselasaan, serta hadir dengan port pengecas USB-C serta ruang-ruang penyimpanan modular.
Manakala untuk PV7 Cargo, ia boleh dipilih dalam versi dua atau tiga tempat duduk, bersama ruang kargo dengan keluasan 6.1 meter padu bagi versi badan panjang; VDA atau 8 meter padu (badan bumbung tinggi). Kapasiti muatan pula adalah antara 1,165 hingga 1,200 kg bergantung pada konfigurasi badan.
Menurut Kia, pelanggan boleh memilih PV7 Cargo ini dengan pintu tailgate belakang jenis pintu kembar bukaan hayun atau jenis dibuka ke atas. Bagi versi badan panjang, ia boleh membawa barang dengan tinggi sehingga 550 mm dan boleh dimuatkan sehingga tiga pallet saiz Eropah (800 x 1,200 mm).
Pada kabin hadapan pula, PV7 ini diberikan papan pemuka yang sekali lagi, nampak sama seperti yang dipadankan pada PV5. Pemandu menerima paparan instrumen yang nipis tanpa sebarang perumah, manakala skrin infotainmen di tengah ditawarkan sama ada dalam saiz 12.9-inci atau 14.6-inci.
Banyak ruang storan pada papan pemuka van ini yang sesuai sebagai ruang kerja bergerak. Manakala bagi versi Passenger, kabin hadapan ini ditawarkan dengan lebih banyak kemasan dan warna yang nampak lebih mewah.
Untuk keselamatan pula, Kia PV7 ini diberikan sistem bantuan pemanduan termaju (ADAS) dengan fungsi merangkumi pengelak salah tekan pedal, amaran pelanggaran hadapan dengan brek kecemasan automatik, bantuan kekal lorong, cruise control yang berfungsi berasaskan sistem navigasi, bantuan pemanduan lebuhraya, amaran jarak parkir sekeliling, bantuan parkir jarak jauh, pemantau pandangan sekeliling dan juga dashcam bina-dalam.
Kia PV7 ini dijangka akan mula dijual di Korea dan Eropah terlebih dahulu bermula separa kedua 2027, dan ia akan diikuti oleh pasaran-pasaran lain.
GALERI: Kia PV7 Passengger 2027
GALERI: Kia PV7 Cargo 2027