Bad-road-2

Kementerian Kerja Raya menyasarkan semua jalan di bawah selenggaraannya, ‘zero pothole’ atau sifar jalan berlubang, mulai tahun ini.

Menurut menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof, usaha ke arah itu telah pun dimulakan, antaranya menggerakkan pasukan audit untuk memantau keadaan jalan dan mengarahkan konsesi yang bertanggungjawab menjalankan kerja penyelenggaraan untuk segera memperbaiki kerosakan, laporan The Malay Mail.

“Kita sudah wujudkan program ‘Rakan JKR’ iaitu pengguna sama-sama meninjau dan menyampaikan maklumat kepada kita apabila ada lubang pada jalan raya supaya syarikat konsesi boleh ambil tindakan.

“Jika syarikat konsesi lambat mengambil tindakan, mereka boleh dikenakan tindakan, termasuk penalti atau denda disebabkan kegagalan mematuhi syarat, terma perjanjian konsesi yang ditandatangani,” katanya.

Katanya, syarikat konsesi yang dilantik bertanggungjawab sepenuhnya untuk memastikan jalan berada dalam keadaan yang baik, menguruskan aduan berkaitan kerosakan jalan dengan segera dan kualiti kerja mesti mematuhi piawaian yang ditetapkan. Bagi memastikan kesegeraan untuk bertindak terhadap aduan berkaitan jalan berlubang, kementerian telah menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) iaitu bagi lubang atau kerosakan ringkas, tindakan mesti diambil dalam tempoh 24 jam.

Manakala bagi kerosakan jalan yang sukar diselesaikan, tindakan perlu dibuat dalam tempoh 14 hari, sementara masalah kerosakan yang lain perlu dilaksanakan tidak lewat dari setahun.

Malah pihak kementerian juga mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai untuk memberi maklumat melalui Twitter, laman web Aduan JKR dan akaun Facebook.