Pengerusi Proton Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan kepentingan untuk pengeluar kereta nasional ini kembali ke pasaran antarabangsa. Menurut Tun Mahathir, Proton tidak boleh bergantung kepada pasaran domestik semata-mata kerana ia adalah kecil, dengan jumlah keseluruhan industri tahunan (TIV) di bawah 700,000 unit dan berkongsi dengan pengeluar kenderaan lain termasuk Perodua.

Sebelum ini, beliau telah meluahkan tentang sekatan pasaran luar termasuk sifat ‘protectionism’ yang diamalkan oleh beberapa negara sebagai halangan terbesar bagi Proton untuk mengeksport produknya. Malah Proton juga perlu mematuhi piawaian dan peraturan yang ditetapkan oleh negara-negara berkenaan.

“Pasaran eksport adalah pasaran yang paling penting. Sebagai contoh, di United Kingdom, kita boleh mengeksport lebih 25,000 unit kereta – jumlah yang begitu besar. Namun kini standard tersebut sudah berubah, kita tidak boleh meneruskan eksport biar pun untuk seunit kereta,” luar Tun Mahathir.

Beliau turut menambah, pasaran ASEAN juga dilindungi dan mengamalkan syarat-syarat tertentu kemasukan, termasuk bab cukai dan duti. Disebabkan itu Proton harus bersaing dengan kenderaan luar untuk membina fasiliti pembuatan di negara ASEAN dan dari situ dapat kelebihan daripada segi kadar cukai dan duti yang lebih rendah.

proton-chile-facebook-1

Proton Preve dan Exora telah dieksport ke Chile awal tahun ini

“Sekarang kita perlu berfikir semula, kita perlu memasang atau menghasilkan beberapa bahagian kereta dalam negara sendiri. Jika perlu, sebagai contoh, kita boleh mengeksportnya ke Bangladesh, biar pun ia bukanlah pasaran automotif yang sangat besar. Tetapi kita terpaksa belajar bagaiamana untuk menghasilkan komponen kereta di negara sendiri,” ujarnya.

Tun Mahathir turut berkata, Proton kini sedang mencari peluang untuk memasuki pasaran China, tetapi “syaratnya perlu semuanya diperbuat di China.” Mengenai Thailand pula, beliau berkata, negara tersebut turut memperketatkan peraturan yang menghalang Proton memasuki pasaran berkenaan.

Malah mengakui Proton harus menerima dan belajar bahawa setiap negara memiliki keperluan yang berbeza, dan setiap negara tersebut perlu menyelesaikan masalah masing-masing, kerana pasaran ASEAN amat penting. Beliau turut memberi contoh, Indonesia, yang menjual lebih daripada satu juta unit kereta setahun. “Jika kita mengabaikan pasaran ASEAN ini, pastinya akan akan jauh ketinggalan,” katanya.

“Kita akan ke sana, tetapi untuk membuatkan kereta-kereta kita boleh diterima di pasaran mereka, kita perlu mengetahui apa yang mereka mahukan. Jadi kita perlu mengkaji setiap pasaran, dan mengurangkan kos kita melalui pembuatan tempatan,” ulasnya lagi.

Video di atas mempunyai temubual penuh mengenai isu ini bersama Tun Mahathir Mohamad.