01 TEY 2016 Datuk Ismet Suki and En. Mahamad Amran Kamsi with the team leaders of the participating schools

Penganjuran kali ke-15 tahun ini, Toyota Eco Youth meneruskan cabaran dengan memberikan fokus tema yang lebih serius iaitu Pengurusan Sisa Pepejal. Jika sebelum ini pertandingan anjuran UMW Toyota Motor (UMWT) hanya menumpu penyertaan dari sekolah-sekolah dan guru-guru, kali ini komuniti masyarakat di sekita sekolah-sekolah turut boleh mengambil bahagian.

Menurut Presiden UMWT, Datuk Ismet Suki, “Bagi Toyota, pemuliharaan alam sekitar bukan satu perkara yang asing.”

Katanya lagi, di peringkat global. Toyota telah menggariskan Cabaran Alam Sekitar Toyota 2050, yang mengenal pasti 6 kunci utama permasalahan alam sekitar dalam tempoh tiga dekad, antaranya pengurangan CO2, kecekapan penggunaan air dan mewujudkan lingkungan masyarakat yang mengamalkan kitar semua serta budaya yang mesra bumi.

Di Malaysia pula, UMWT mengamalkan pendekatan mesra alam di ibu pejabat, bilik pameran dan pusat-pusat servis. Pelbagai aktiviti berkaitan alam sekitar turut dianjurkan bersama staf-staf syarikat setiap tahun, seperti taklimat kesedaran alam sekitar, penanaman pokok, kitar semula dan banyak lagi.

Ketua Penolong Pengarah, Kementerian Pendidikan, Mahamad Amran Kamsi pula menambah pengurusan sisa pepejal sudah menjadi masalah yang sekian lama dihadapi dan menjadi lebih buruk dengan pertambahan populasi manusia.

“Masalah utama sisa pepejal adalah ia tidak akan terlupus secara semulajadi. Sebuah botol plastik mengambil masa 500 tahun untuk terurai, beg plastik pula memerlukan masa 10-20 tahun, tin sekitar 50 tahun manakala botol kaca satu juta tahun,” jelas Mahamad Amran.

Sebelum ini, sekolah-sekolah yang mengambil bahagian dipilih oleh Kementerian Pendidikan iaitu satu daripada setiap daerah, untuk lebih adil. Tahun ini, untuk meningkatkan lagi cabaran bagi program berkenaan, sekolah yang ingin turut serta perlu menyerahkan kertas cadangan projek kepada pihak penganjur.

Pendekatan terbaru ini dijangka akan dapat memberikan keputusan yang lebih baik dari segi hasil projek, promosi dan pendedahan, memandangkan sekolah-sekolah yang ingin turut serta perlu menunjukkan kesungguhan dari peringkat awal lagi.

Setakat ini, 209 buah sekolah sudah pernah terlibat di dalam Cabaran Toyota Eco Youth. UMW Toyota telah membelanjakan RM6 juta untuk program berkenaan sejak ia dimulakan pada 2001, melihatnya sebagai sebuah pelaburan modal insan dan juga terhadap bumi yang didiami ini.

Mahamad Amran turut menegaskan bahawa sikap konsumerisme yang ada kini perlu diubah. Walaupun penyelesaian terbaik yang ada kini masih melibatkan 3R (Reduce, Reuse & Recycle), kadar kitar semula di Malaysia masih terlalu rendah iaitu 2%.