polis operasi PT

Sepanjang tahun lalu, hampir setengah juta saman dikeluarkan oleh Polis Trafik Kuala Lumpur kepada pengguna jalan raya di sekitar ibu kota atas kesalahan tidak berhenti di lampu isyarat.

Menurut Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur ACP Mohd Nadzri Hussain, daripada 491,479 saman itu, sebanyak 78% kesalahan dikesan melalui Sistem Pengawasan Kamera Lampu Isyarat Merah (RLSC) yang dipasang di 17 persimpangan ‘kawasan panas’ manakala 22% lagi dikesan secara langsung oleh anggota trafik bertugas, laporan Bernama.

Beliau berkata sebanyak 51 kemalangan berpunca daripada kesalahan melanggar lampu isyarat merah dicatatkan sepanjang tahun lalu manakala 11 kemalangan dengan satu kematian dilaporkan sepanjang tiga bulan pertama tahun ini.

“Saman akibat kesalahan sama dari Januari hingga Mac tahun ini juga meningkat sebanyak 29% di mana 142,039 saman direkodkan berbanding hanya 110,021 dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Sambungnya lagi, pemandu kenderaan persendirian seperti kereta, van, kenderaan pacuan empat roda dan penunggang motosikal dikesan sebagai paling kerap melakukan kesalahan tersebut.

Di mana sebanyak 9,429 saman bagi kesalahan sama dikeluarkan terhadap pemandu kenderaan pengangkutan awam seperti bas dan teksi yang beroperasi atau menggunakan laluan sekitar ibu kota.

PJ-Traffic-Jam_PTBM

Selain itu, “Sikap pentingkan diri sendiri, tidak berdisiplin, kurang kesedaran sivik dengan tidak menghormati undang-undang serta terkejar-kejar lampu kuning dilihat sebagai antara punca utama mengapa kesalahan ini sering dilakukan pengguna jalan raya.

Beliau berkata sebanyak 240 anggota trafik ditugas mengawal lalu lintas di ibu kota setiap hari dengan tumpuan diberikan pada waktu puncak iaitu dari 6 pagi hingga 10 pagi ketika orang ramai keluar bekerja dan 5 petang hingga 9 malam ketika waktu pulang daripada bekerja.

“Kita juga sentiasa memantau laluan yang sering berlaku kesalahan melanggar trafik dan akan mencadangkan kepada pihak Bukit Aman supaya lebih banyak kamera pengawasan RLSC dipasang,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Prof Dr Wong Shaw Voon pula berkata cadangan menambah bilangan RLSC merupakan inisiatif terbaik untuk mendisiplinkan pengguna jalan raya seterusnya menggalakkan mereka mematuhi lampu isyarat.

Katanya kajian dijalankan MIROS di beberapa negara luar yang mengaplikasikan teknologi berkenaan juga terbukti berkesan mengurangkan kesalahan terbabit sebanyak 40 hingga 90 peratus.

“Penambahbaikan sistem lampu isyarat seperti pemasangan “countdown timers” yang hanya terdapat di beberapa lokasi sahaja perlu diperluaskan kerana ia membantu pengguna jalan raya lebih bertenang dalam menunggu giliran laluan mereka.

“Bagaimanapun, sikap pengguna jalan raya itu sendiri yang seolah-olah menjadikan kesalahan melanggar lampu isyarat sebagai satu budaya di negara ini perlu diubah, jika tidak pastinya segala usaha yang dilakukan pihak berwajib tidak akan berhasil,” katanya.