SabahRoad_2

Dengan bermulanya projek Lebuhraya Pan Borneo di Sabah, sepanjang 1,236 km jalan raya di negeri terbabit akan dinaik taraf.

Menurut Timbalan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, projek menaik taraf jalan itu bakal memberi manfaat kepada penduduk di Sindumin, Sipitang, Beaufort, Membakut, Papar, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud, Kudat, Tamparuli, Ranau, Telupid, Lahad Datu, Tawau, Kalabakan, Serudong, Sapulut,Nabawan, Keningau dan Kimanis, laporan Bernama.

“Di bawah Program Pan Borneo Fasa 1, sepanjang 706km jalan berkembar dengan dua lorong sehala akan dibina dengan anggaran kos sejumlah RM12.86 bilion,” katanya semasa menjawab soalan Roland Chia Ming Shen (PKR-Inanam) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah semalam.

Pairin yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah berkata antara jalan raya yang akan dibina dalam projek berkenaan ialah Jalan Sindumin-Kota Kinabalu, Jalan Kota Kinabalu-Tuaran, Jalan Tuaran-Kudat, Jalan Ranau-Telupid, Jalan Telupid-Lahad Datu dan Jalan Lahad Datu-Tawau.