A162821_large-e1461557114429_BM

Setelah beberapa imejnya diintip sedang diuji tersebar, kini Audi secara rasmi mendedahkan varian tertinggi dalam barisan Audi TT iaitu varian RS dalam bentuk Coupe dan Roadster ketika Beijing Motor Show 2016 yang sedang berlangsung.

TT RS masih lagi menggunakan enjin lima-silinder TFSI 2.5 liter. Tetapi menurut Audi, enjin tersebut telah dibina semula untuk mengekstrak lebih 60 hp kuasa kuda dan 15 Nm tork dari versi sebelum ini. Dengan ini, kuasa keseluruhan TT RS baharu ini dicatatkan pada 400 hp dan letusan tork maksima 480 Nm bermula pada 1,700 rpm hingga 5,850 rpm. Enjin ini dipadankan dengan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan S-Tronic dan mengalirkan kuasa kesemua roda menerusi sistem pacuan semua roda Audi Quattro.

Varian Coupe mampu untuk mencatakan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 3.7 saat, manakala varian roadster yang lebih berat berupaya mencatatkan masa 3.9 saat dalam jarak pecutan yang sama. Kelajuan maksima kedua-dua model ini dihadkan pada 250 km/h, namun menurut Audi, had kelajuan tersebut boleh ‘dibuka’ sehingga 280 km/j jika diminta oleh pelanggan.

Audi TT RS menampilkan empat pilihan mod pemanduan yang terdiri dari Comfort, Auto, Dynamic dan Individual. Kesemua mod ini mengawal selia talaan pada sistem pacuan empat roda Quattro, sistem stereng, transmisi, enjin dan juga bukaan injap pada sistem ekzos mengikut mod pemanduan yang dipilih.

Sistem suspensi Audi RS sport dengan penyerap hentak adaptif dan teknologi magnetic ride pula ditawarkan sebagai pilihan opsyenal. Brek dengan cakera berliang pada bahagian hadapan dan cakera ‘cross drilled‘ di bahagian belakang di sebalik roda aloi berdiameter 19-inci didatangkan secara standard, manakala road aloi lebih besar bersaiz 20-inci disediakan sebagai pilihan opsyenal.

Untuk membezakan varian RS dengan varian lain yang lebih rendah, model ini dilengkapi dengan ciri istimewa RS yang terdiri dari liang kemasukan udara yang lebih besar pada bahagian bampar hadapan, gril hadapan bermotif sarang lebah dilengkapi lencana Quattro, spoiler belakang,dan juga dua unit tip ekzos berbentuk oval. Lampu hadapan LED didatangkan secara standard, tetapi pembeli boleh juga memilih untuk menggunakan lampu hadapan Matrix LED sebagai pilihan opsyenal. Manakala untuk lampu bahagian belakang pula, TT RS dilengkapi dengan lampu Matrix LED yang didatangkan secara standard, menjadikan ia model produksi pertama Audi menampilkan ciri tersebut sebagai standard. Untuk model Roadster pula, bumbungnya boleh dibuka atau diangkat semula ketika kereta tersebut bergerak di bawah kelajuan 50 km/j.

Selain dari beberapa kemasan dan lencana RS, keseluruhan bahagian dalaman TT RS ini boleh dikatakan seiras dengan varian lain dalam barisan model TT. Ia dilengkapi dengan panel paparan instrumen dan infotainmen 12.3-inci virtual cockpit Audi yang sama seperti TT standard dan TT S, tetapi ditambah dengan skrin RS yang memberikan informasi telemetri tambahan.

Roda stereng pelbagai fungsi TT RS ini juga dilengkapi dengan butang untuk pemilihan mod pemanduan serta butang penghidup enjin. Sistem navigasi NMI dan ciri sesentuh NMI adalah ditawarkan sebagai pilihan opsyenal bersama modul sambungan atas talian Audi dengan kebolehan WiFi hotspot.

Audi TT RS Coupe dan Roadster ini hanya akan dilancarkan di Eropah pada Ogos tahun ini. Model Coupe bakal dijual pada harga 66,400 euro (RM293k) manakala model Roadster pula akan dijual pada harga 69,200 euro (RM305k).

GALERI: Audi TT RS Coupe

GALERI: Audi TT RS Roadster