Taxi protest KL 8 April 2016 feat 1

Kemelut yang melanda perkhidmatan teksi kian parah selagi tiada keputusan daripada pihak kerajaan dalam menangani isu ini. Terbaru, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pemandu Teksi Lembah Klang, Zailani Isausuludin, menyeru agak kerajaan mengharamkan perkhidmatan Uber dan Grabcar yang didakwa beroperasi tanpa undang-undang sah.

Katanya, perkhidmatan terbabit menyebabkan pendapatan lebih 70,000 pemandu teksi di sekitar Lembah Klang terjejas, laporan Berita Harian. Justeru, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) didesak untuk menguatkuasakan undang-undang seperti termaktub di bawah kedua-dua agensi itu.

“Sudah termaktub dalam undang-undang yang tidak tidak membenarkan kenderaan persendirian yang tiada lesen mengendali, beroperasi sebagai kenderaan awam. Tapi bagaimana SPAD dan JPJ boleh membenarkan Uber dan Grabcar beroperasi, sedangkan pemandu teksi mempunyai syarat yang perlu dipatuhi untuk mengendali kenderaan awam,” katanya.

Pagi ini, kira-kira 100 pemandu teksi berhimpun secara aman di hadapan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini bagi menyokong permohonan injuksi untuk menghalang perkhidmatan Uber dan Grabcar. Mereka bagaimanapun bersurai kira-kira jam 11 pagi.

Pada penghujung Mac lalu, sekumpulan pemandu teksi berkumpul dan memberhentikan kenderaan mereka di hadapan kompleks membeli belah Fahrenheit 88 sepanjang Jalan Bukit Bintang, sebagai tanda protes terhadap Uber dan GrabCar.