PANDU UJI: Toyota Hilux dan Fortuner 2016 – bakal kembalikan semula Toyota ke tahap sebenar

2016-Toyota-Hilux-44_BM

Sehari sebelum pelancaran Toyota Hilux dan Fortuner baharu, pihak UMW Toyota telah mengadakan sesi uji pandu ringkas untuk trak pikap dan SUV serba baharu yang dibina di atas platform yang sama berkenaan.

Selain dikenali sebagai pengeluar automotif terbesar dunia, Toyota juga disaksikan sebagai gergasi terbesar dalam industri automotif negara. Pasaran Toyota di Malaysia amat luas. Jenama tersebut bukan sahaja menjual kereta penumpang, MPV dan SUV biasa, malah turut merangkumi pasaran kereta sport menerusi Toyota 86 sehinggalah kepada kenderaan perdagangan seperti van Toyota Hiace dan juga trak pikap Toyota Hilux.

Dengan reputasi jenama yang sinonim dengan sifat ‘tahan lama’ dan ‘tidak mudah rosak’, Toyota sekian lama mengungguli pasaran kereta bukan nasional di Malaysia. Namun, akhir-akhir ini Toyota dilihat agak kurang bermaya dan takhta sebagai juara pengeluar kereta bukan nasional kini dirampas oleh Honda. Dalam suasana ekonomi yang lembap, dan kejatuhan nilai ringgit, sehingga Mac tahun ini, Toyota hanya mampu menjual sejumlah 10,216 unit kenderaan dan berada di kedudukan ketiga selepas Honda (18,777 unit) dan Nissan (10,773 unit).

2016-Toyota-Fortuner-1_BM

Jenama Hilux antara ‘senjata’ paling ampuh yang dimiliki Toyota. Ia adalah antara trak pikap yang paling dipercayai oleh pengguna di Malaysia. Jadi dengan pelancaran generasi kelapan Hilux, bersama ‘abang’nya SUV Toyota Fortuner, ia dijangka akan mengangkat semula Toyota ke tahap yang sepatutnya.

Sesi uji pandu kali ini, perhatian yang lebih diberikan kepada Hilux. Untuk sesi ujian off-road dan ujian dalam litar ujian, kami diberikan peluang untuk menguji kedua-dua buah model tersebut tetapi untuk sesi pemanduan jalan raya, kami hanya diberi peluang memandu Toyota Hilux.

Saya mulakan dengan Toyota Hilux. Hilux single cab hanya hadir dengan varian 2.4 manual 4X4. Manakala untuk model double cab ia boleh dipilih dengan lima varian berbeza yang terdiri daripada 2.4 Standard manual 4×4, 2.4 manual 2×4, 2.4G manual 4×4, 2.4G automatik 4×4 dan 2.8G automatik 4×4. Jadi, secara keseluruhan, barisan trak pikap ini tersedia dengan enam varian berbeza.

Seiring dengan pasaran trak pikap yang kini rata-ratanya menampilkan rekaan yang lebih beralun, moden dan futuristik seperti Mitsubishi Triton, Ford Ranger dan Mazda BT-50, Hilux dilihat telah meninggalkan rekaan trak pikap konvensional.

Bahagian hadapan Hilux direka dengan mimik muka yang agak garang. Sepasang lampu hadapan yang besar mengapit gril krom yang juga direka dengan agak tebal. Liang kemasukan udara pada bampar hadapan hanya dilengkapi pada bahagian tengah. Manakala pada bahagian kedua-dua belah sisi, ia dilengkapi dengan lampu kabus bulat diletakkan pada perumah yang berbentuk segi empat condong. Kesemua varian 2.4 liter dibekalkan lampu hadapan halogen pelbagai-reflektor automatik dengan fungsi Follow Me Home dan lampu nyalaan siang biasa. Manakala untuk Varian tertinggi 2.8G pula ditambah dengan lampu hadapan projektor LED dan juga lampu nyalaan siang LED.

Tiada lagi skup udara pada bonet hadapan kerana unit intercooler sistem turbo kini dialihkan kebahagian hadapan bagi memberikan kuasa penyejukkan yang lebih efisien, seterusnya membolehkan lebih komponen oksigen terbentuk dalam molekul udara, memberikan kuasa letusan yang lebih kuat dalam kebuk pembakaran.

Beralih pada profil sisi, keempat-empat ruang roda Hilux kini tidak lagi dilengkapi dengan kemasan plastik yang digelar ‘over fender’. Lebar keseluruhan Hilux baharu ini diukur pada panel badan yang benar-benar lebar, memberikan rupa paras yang lebih ‘tough’. Roda aloi berdiameter 17-inci baharu untuk model 2.4 dibaluti tayar All-Terrain bersaiz 265/65R17. Manakala untuk varian 2.8G, roda aloi berdiameter 18-inci baharu dengan kemasan aloi digilap dan hitam berkilat dibaluti tayar Highway Terrain bersaiz 265/60R18.

Bahagian belakang Hilux baharu ini pula masih kelihatan seperti Hilux, dilengkapi dengan lampu belakang mentol biasa direka secara menegak serta dilengkapi lampu kabus bina dalam dan bampar belakang dengan kemasan krom.

Beralih pula ke bahagian dalaman. Jika dilihat dari luar atau melalui gambar, papan pemuka Hilux kelihatan agak premium. Rekaannya agak moden, dilengkapi dengan skrin sesentuh 6.1 inci, butang penghidup enjin, manakala untuk varian 2.8G ia turut dilengkapi dengan paparan instrumen Optitron dengan skrin TFT MID bersaiz 4.2 inci mirip Toyota Camry. Namun setalah masuk ke dalam dan menyentuh papan pemuka tersebut, ia masih lagi menggunakan plastik keras. Malah sulaman benang yang kelihatan pada papan pemuka dan panel pintu juga sebenarnya adalah benang palsu.

Satu perkara yang menarik perhatian saya ialah pemegang cawan bahagian bawah liang penghawa dingin bahagian sisi. Ia tersimpan di bahagian dalam papan pemuka, setelah dibuka dan cawan/botol minuman diletakkan, ia secara tidak langsung akan menyejukkan minuman tersebut melalui liang penghawa dingin. Ruang storan pada bahagian atas glove box juga turut dialirkan udara sejuk dari penghawa dingin kedalamnya, membolehkan air minuman yang disejukkan tadi disimpan ke dalam ruang tersebut sambil mengekalkan suhu sejuknya.

Menurut Toyota, tempat duduk hadapan Hilux 2.4G dan 2.8G adalah diambil terus dari sedan premium keluaran mereka. Dengan dibaluti kulit, tempat duduk ini boleh dikatakan agak selesa.

Trak pikap ini dijana dengan dua pilihan enjin turbo diesel baharu. Enjin 2GD-FTV 2.4 liter berupaya menjana 150 PS pada takat 3,400 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 1,600 hingga 2,000 rpm. Manakala enjin 1GD-FTV 2.8 liter pula berupaya menjana 177 PS pada takat 3,400 rpm dan tork maksima 450 Nm bermula 1,600 hingga 2,400 rpm. Kedua-dua enjin ini menggantikan enjin turbo diesel 2.5 liter 2KD-FTV dan juga enjin 3.0 liter 1KD-FTV pada generasi terdahulu. Walaupun berkapasiti lebih kecil, enjin siri GD baharu ini dilengkapi dengan sistem pancitan bahan api terus common-rail dan sistem turbo VNT bertekanan lebih tinggi, membolehkan ia mengekstrak lebih kuasa disamping menggunakan bahan api dengan lebih cekap.

2016-Toyota-Hilux-18-1_BM

Ujian dalaman yang dilakukan menunjukkan enjin 2.4 liter baharu ini mengunakan satu liter diesel untuk perjalanan berjarak 13.7 km dengan transimisi manual (12% lebih baik dari model 2.5L manual terdahulu) dan 12.2 km untuk setiap liter diesel dengan transmisi automatik (10% lebih baik dari 2.5L automatik). Manakala untuk enjin 2.8L pula, ia boleh berjalan sejauh 11.8 km dengan setiap liter diesel, menunjukkan peningkatan sebanyak 25% lebih bagus dari enjin 3.0L.

Kedua-dua pilihan enjin tersebut digandingkan dengan pilihan transmisi baharu sama ada enam-kelajuan manual atau enam-kelajuan automatik berbanding pada generasi terdahulu yang dipadankan dengan kotak gear lima-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik. Kotak gear automatik Super ECT baharu tersebut turut menawarkan penukaran gear yang lebih lancar. Kesemua varian G juga dilengkapi dengan tiga mod pemanduan berbeza iaitu Normal, ECO dan Power.

Untuk varian 2.4G auto dan 2.8G auto, sistem 4WD Hilux datang dengan sistem Kawalan Cengkaman Aktif (A-TRC), di mana saya berpeluang untuk mengujinya dalam litar off-road semasa sesi uji pandu ini. Sistem tersebut kedengaran seperti menggunakan limited slip differential aktif yang membolehkan pindahan tork dilakukan kepada tayar yang kehilangan cengkaman. Tetapi sebenarnya tidak, kerana sistem ini sebaliknya hanya menggunakan hardware daripada sistem ABS untuk memanipulasi agihan tork pada kedua-dua belah tayar melalui unit differential biasa.

2016-Toyota-Hilux-51_BM

Contohnya, apabila tayar belakang sebelah kiri tidak lagi menyentuh permukaan, tork sepenuhnya akan dihantar ke tayar tersebut dalam situasi biasa, menyebabkan pikap tersebut akan terus tersekat. Dengan sistem A-TRC ini, setelah situasi berkenaan dikesan, pam modulator ABS akan menghantar tekanan ke pam brek tayar belakang sebelah kiri tersebut. Ini akan menyebabkan tork dari enjin akan turut dialirkan ke tayar belakang sebelah kanan seterusnya membolehkan Hilux dipandu kehadapan.

Namun, dalam situasi paling buruk, misalnya kedua-dua tayar belakang tersekat di dalam lumpur, Hilux masih lagi dilengkapi dengan diff-lock untuk mengunci unit differential belakang bagi membolehkan kedua-dua roda mendapat tork yang sama dengan hanya menekan satu suis.

Peralihan dari pacuan dua roda kepada pacuan semua roda kini boleh dilakukan dengan hanya memutarkan suis pemilih tanpa menghentikan kenderaan dibawah kelajuan 100 km/j. Selain dari memudahkan pemandu, sistem ini juga telah melenyapkan terus tuil gear kedua untuk mengawal sistem pacuan empat roda.

2016-Toyota-Hilux-47_BM

Toyota mendakwa kerangka ladder frame pada Hilux baharu ini dibina lebih teguh secara tidak langsung memberikan peningkatan kepada aspek keselesaan dan pengendalian. Ketika diuji dilitar ujian, agak sukar untuk merasai apa yang didakwa Toyota tersebut kerana jalan tidak rata pada laluan litar berkenaan adalah terlalu ekstrim. Tetapi semasa ujian jalan raya dilakukan, agak jelas terasa kerangka tersebut adalah benar seperti didakwa. Badan Hilux terasa ‘solid‘ dan kurang terasan gegaran setiap kali melanggar lubang pada jalan raya.

Untuk sistem keselamatan pula, semua varian dilengkapi dengan sistem brek ABS dengan EBD. Hanya varian 2.4G auto dan 2.8G auto dilengkapi dengan Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Mula Mendaki (HAC), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) dan Kawalan Libasan Trailer (TSC). Penderia dan kamera undur pula hanya dilengkapi pada kesemua varian G. Kesemua model 2.4 dilengkapi dengan tiga-unit beg udara manakala model 2.8G menerima tujuh-unit beg udara. Cagak isofix juga adalah standard untuk semua badan double cab.

Sekarang kita beralih pula ke SUV Toyota Fortuner. Walaupun dibina di atas kerangka ladder frame FIRM (Frame with Intergrated Rigidity Mechanism) yang sama seperti Hilux, Fortuner menampilkan dimensi yang sedikit berbeza. Lebar keseluruhan SUV ini adalah sama dengan Hilux iaitu 1,855 mm. Tetapi panjang keseluruhannya adalah 535 mm lebih pendek dan jarak rodanya pula adalah 340 mm lebih pendek berbanding Hilux. Oleh itu dimensi SUV ini diukur dengan panjang 4,795 mm, tinggi 1,835 mm dan jarak roda 2,745 mm.

Fortuner baharu ini dilengkapi dengan sepasang lampu hadapan yang direka lebih nipis dan tajam, mengapit gril hadapan dengan bar krom yang besar. Bampar hadapan pula dilengkapi dengan gril bawah berbentuk trapezoid, diapit dengan kemasan hitam yang dikelilingi krom menempatkan lampu kabus hadapan.

Varian VRZ 2.4 liter dibekalkan lampu hadapan halogen projektor automatik dan lampu nyalaan siang biasa. Manakala varian 2.7 liter SRZ pula dilengkapi dengan lampu hadapan projektor Bi-LED dan lampu nyalaan siang LED. Sistem lampu kedua-dua varian dilengkapi dengan fungsi Follow Me Home. Kedua-dua varian juga dilengkapi dengan cermin sisi berkuasa elektrik berserta lampu isyarat membelok LED tetapi hanya varian SRZ dilengkapi dengan lampu puddle. Lampu belakang LED juga dibekalkan secara standard untuk semua varian.

Varian SRZ juga dilengkapkan dengan pintu tailgate belakang dengan sistem bukaan berkuasa, membolehkan ianya dibuka/ditutup secara automatik sama ada dengan menekan suis pada pintu tersebut ataupun menggunakan butang pada alat kawalan jauh.

Untuk bahagian roda, VRZ dilengkapi dengan roda aloi berdiameter 17-inci dibaluti tayar All-Terrain bersaiz 265/65R17. Manakala untuk varian SRZ pula ia berkongsi roda aloi berdiameter 18-inci yang sama dengan Hilux 2.8G, dibaluti tayar Highway Terrain bersaiz 265/60R18.

Menjengah masuk kedalam kabin, papan pemuka Fortuner dilihat berbeza pada bahagian konsol tengah dimana ia menampilkan skrin sesentuh bersaiz 8 inci yang lebih besar, kawalan penghawa dingin dengan paparan digital serta diapit dengan kemasan berwarna silver untuk mengasingkan konsol tersebut dengan bahagian lain pada papan pemuka.

Selain itu, material yang digunakan dalam bahagian dalaman ini juga adalah lebih lembut apabila dipegang berbanding Hilux. Untuk menaikkan lagi imej sebagai sebuah SUV mewah, varian SRZ juga menerima balutan kulit upholstery dan tempat duduk diberikan kemasan berwarna perang gelap diadun dengan dominasi gabungan kemasan bermotif kayu dan kemasan silver.

Untuk VRZ, ia hanya dilengkapi dengan unit pemain CD dan MP3 2-DIN dengan sambungan AUX, USB dan Bluetooth. Varian SRZ pula, ia dilengkapi dengan ciri-ciri lebih premium meliputi Optitron dengan skrin TFT MID bersaiz 4.2 inci, unit infotaimen pemain DVD dengan skrin sesentuh 8-inci dan sambungan telefon pintar, WiFi, pelayar internet, sistem navigasi, AUX, USB, SD card, Bluetooth dan HDMI.

Kedua-dua varian dilengkapi dengan enam pembesar suara dan sistem kunci pintar beserta butang penghidup enjin. Roda stereng empat jejari pelbagai fungsi turut didatangkan standard untuk semua varian.

2016-Toyota-Fortuner-20_BM

Varian 2.7SRZ dijana oleh enjin petrol tanpa induksi paksaan 2TR-FE 2.7 liter berupaya menjana 166 PS pada takat 5,200 rpm dan tork maksima 245 Nm pada takat 4,000 rpm. Manakala untuk varian 2.4VRZ pula, ia dijana enjin turbo diesel 2GD-FTE 2.4 liter berkuasa 150 PS pada takat 3,400 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 1,600 hingga 2,000 rpm.

Fortuner hanya ditawarkan dengan pilihan kotak gear automatik Super ECT enam-kelajuan. Bukan sahaja kotak gear, malah sistem 4WD Fotuner secara keseluruhannya adalah mirip kepada sistem yang ada pada Hilux, termasuk suis pilihan 4WD dan juga sistem diff-lock. Namun hanya varian SRZ dilengkapi dengan sistem A-TRC.

Berbanding Hilux yang selalunya ditugaskan untuk membawa beban berat dibahagian belakang, Fortuner pula direka untuk membawa dan memberi keselesaan untuk penumpang belakang. Oleh itu, berbanding dengan Hilux yang menggunakan spring dedaun, Fortuner menggunakan konfigurasi spring gegelung 4-Link dengan rod kawalan lateral dan penstabil. Suspensi ini juga di tala dengan lebih selesa berbanding Fortuner generasi terdahulu dengan mengurangkan pergerakan bumping badan kereta ini seminimum yang mungkin.

2016-Toyota-Fortuner-57_BM

Namun, dengan sistem 4WD yang sama lasak dengan Hilux, kemampuan meredah laluan off-road juga adalah hampir sama dengan ‘adik’nya itu. Ini merupakan kelebihan Fortuner berbanding SUV lain dalam pasaran yang kebanyakkannya menggunakan sistem pacuan empat roda yang lebih berorientasikan penggunaan ringan. Jadi, seperti juga Hilux, tiada masalah untuk Fortuner meredah litar laluan off-road yang disediakan semasa sesi pandu uji ini.

Sistem keselamatan pada Fortuner VRZ adalah mirip kepada Hilux standard iaitu hanya dilengkapi dengan sistem brek ABS dan EBD serta tiga buah beg udara. Sistem keselamatan varian SRZ pula adalah mirip kepada Hilux 2.8G menampilkan Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Mula Mendaki (HAC), Isyarat Berhenti Kecemasan (ESS) dan Kawalan Libasan Trailer (TSC).

Fortuner SRZ juga dilengkapi dengan tujuh-unit beg udara, membolehkan SUV ini menerima penarafan lima bintang dalam ujian penilaian keselamatan ASEAN ANCAP. Cagak isofix pada bahagian tempat duduk belakang adalah standard untuk semua varian.

Walaupun pembinaan Hilux dan Fortuner kini lebih diperhalusi, hadir dengan waranti lima tahun dan tidak lupa juga kedua-dua jenama tersebut sememangnya amat kuat dalam kelas masing-masing, adakah pelancaran dua senjata baharu Toyota ini akan mengangkat semula Toyota ke peringkat sepatutnya? Ini kerana dalam pasaran trak pikap itu sendiri kini dibanjiri dengan pelbagai model baharu seperti Ford Ranger, Nissan Navara dan Mitsubishi Triton mempunyai kelebihan masing-masing. Jadi, hanya masa yang akan menentukan.

GALERI: Toyota Hilux 2016

GALERI: Toyota Fortuner 2016

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 

Comments

  • I got hilux Double CAB 2.4G…almost 2 months I used..They are got a problem when I want to change gear P to R…got some sound like “stuck” I thought area gear box..is it can be more problem if I cannot take action?

    Like or Dislike: Thumb up 1 Thumb down 0
 

Add a comment

required

required