Honda Civic 2016 dilancarkan pada Q2 2016 – bakal dipertontonkan di MIECC dari 20 hingga 22 Mei ini

2016 Honda Civic Thailand 56

Selepas mula membuka tempahan sejak 9 Mei yang lalu, Honda Malaysia telah mengesahkan bahawa Honda Civic 2016 generasi ke-10 bakal dilancarkan pada suku kedua (Q2) tahun ini. Civic serba baharu ini telah menerima kejuruteraan semula bagi mencipta sensasi dan meledakkan lagi semangat para pencintanya di seluruh dunia. Malah Civic 2016 ini juga dianggap sebagai game changer dalam segmennya dengan menampilkan pelbagai elemen terkini serta yang pertama seumpamanya di dalam kelasnya yang tersendiri.

Sejak generasi pertamanya yang diperkenalkan pada tahun 1972, boleh dikatakan kesemua model generasi Civic mendapat sambutan yang menggalakkan di peringkat dunia. Malah Civic juga menjadi model yang cukup sinonim bagi jenama Honda di Malaysia. Sejak diperkenalkan oleh Honda Malaysia pada tahun 2001, sehingga Mac 2016, Civic telah berjaya terjual sebanyak 81,013 unit di negara ini.

Civic 2016 ini juga menerima sentuhan rekaan yang diperbaharui dan lebih segar, malah ia umpama kembali ke karakter asal Civic. Permukaan badannya yang solid dan rekaan kabin yang lebih tegap merupakan simbol utama kekuatan karakternya. Malah ia turut menampilkan bahagian hud yang lebih panjang, juntaian hadapan yang lebih sporty, sekali gus menyerlahkan lagi penampilannya yang lebih agresif.

Dan buat pertama kalinya di Malaysia, Civic 2016 akan muncul dengan lampu utama LED sepenuhnya dengan kombinasi lampu nyalaan siang LED.

2016 Honda Civic Thailand 59

Ia juga ternyata lebih panjang, lebih lebar tetapi lebih rendah berbanding Civic gen-9. Ia memiliki ukuran 4,630 mm panjang (105 mm lebih panjang berbanding Civic gen-9), selebar 1,799 mm (lebih 44 mm), berketinggian 1,416 mm (kurang 19 mm) dan jarak roda pula 2,698 mm (lebih 28 mm).

Malah rekaan semula bagi tiang-A yang lebih nipis juga bagi menawarkan sisi pandangan yang lebih bagus untuk pemandu. Bukan itu sahaja, ruang kaki di tempat duduk belakang juga lebih lebar dan dipertingkatkan sebanyak 23 mm berbanding model sedia ada.

Civic gen-10 ini juga 30 kg lebih ringan iaitu hanya 1,195 kg berbanding Civic gen-9 (1,225 kg). Malah 12% daripada kerangkanya diperbuat daripada keluli berketahanan ultra-tinggi. Selain dikatakan lebih ringan, penggunaan keluli jenis ini juga dikatakan telah mempertingkatkan sebanyak 25% bagi ketegaran kilasannya (torsion rigidity).

Ia turut menampilkan suspensi MacPherson di hadapan dan Multilink di belakang bagi memberikan lagi keselesaan pengendaliannya. Malah bagi mengurangkan NVH ketika di atas jalan raya, sistem kalis bunyi telah diaplikasikan, ini termasuk melindungi bahagian bawah kerangka serta pemasangan sistem penebat pada pintu.

Honda Malaysia juga telah mengesahkan Civic 2016 bagi negara ini bakal ditawarkan dengan dua varian enjin. Buat pertama kalinya, enjin 1.5L VTEC pengecas turbo dengan teknologi Earth Dream diperkenalkan. Ia mampu memberikan kuasa sehingga 173 PS dan tork 220 Nm, yang hampir menyamai prestasi enjin 2.4L. Malah buat pertama kalinya Honda Malaysia mengadaptasikan sistem suntikan terus pada enjin.

Honda Civic 1.8L (kiri) & Honda Civic 1.5L Turbo (kanan)

Varian enjin kedua yang ditawarkan ialah 1.8L i-VTEC yang berkemampuan memberikan kuasa sehingga 141 PS dan tork 174 Nm. Kedua-dua varian enjin ini juga dipadankan dengan CVT yang telah dipertingkatkan bagi memberikan prestasi pemanduan yang lebih menyeronokkan tanpa berkompromi dalam penjimatan bahan api.

Varian 1.5L Turbo ditampilkan dengan rim aloi 17-inci, manakala 16-inci bagi 1.8L. Malah ia juga dilengkapi dengan beberapa elemen yang menarik termasuk Remote Engine Start di mana dalam jarak 40 m, dengan hanya menekan kunci kawalan, pemiliknya boleh menghidupkan enjin dan penghawa dingin akan terpasang secara automatik tetapi kereta masih kekal terkunci.

Selain itu, ia turut dilengkapi dengan Walk Away Auto Lock di mana ia boleh mengesan kunci bergerak sejauh 2.5 meter dari kenderaan dan pintu akan terkunci secara automatik. Juga ditampilkan dengan Brek Parkir Elektronik dan Penahan Brek bagi kedua-dua varian ini.

Bagi aspek keselamatan aktif dan pasif, elemen yang ditampilkan adalah standard bagi semua varian. Ini termasuklah enam beg udara, Bantuan Kestabilan Kenderaan, Isyarat Berhenti Kecemasan, Bantuan Mula Mendaki, tali pinggang keledar pra-tekanan dan ISOFIX.

Seperti mana yang semua sedia maklum, tempahan Civic 2016 ini telah pun mula dibuka di semua 88 cawangan pengedar Honda bertauliah di seluruh negara. Malah Honda Malaysia akan mempertontonkan Civic 2016 ini buat pertamanya di Malaysia untuk tatapan umum di My Auto Fest 2016 yang bakal berlangsung pada 20 hingga 22 Mei ini (jam 10 pagi hingga 9 malam) di Pusat Pameran Antarabangsa dan Konvensyen Mines (MIECC).

Baca ulasan pandu uji Honda Civic 2016 di Chiangmai minggu lalu.

GALERI: Honda Civic 1.5 RS Turbo, spesifikasi Thailand

GALERI: Honda Civic 1.8 E, spesifikasi Thailand


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required