Mercedes_A200_Ext_03

Jenama mewah sering kali dikaitkan dengan imej yang menawan, prestasi yang mengagumkan dan pengendalian yang lebih berdinamik. Sesuai dengan jenama dan harga yang ditawarkan, pastinya harus bersesuaian.

Untungnya Mercedes-Benz, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, ia sering mengungguli jenama premium mewah di negara kita. Pada saat beberapa jenama pengeluar kenderaan lain termasuk dari luar negara yang mengalami kejatuhan jualan terutamanya akibat kemelesetan mata wang antarabangsa, Mercedes-Benz terus mampu menaikkan kuantiti yang berjaya dijual.

Perubahan gaya dan prestasi model buatan jenama ini antara pendorong utama mengapa ia makin diterima ramai. Kalau sebelum 10 tahun dahulu, model-model Mercedes-Benz masih menyerlahkan imej ‘tahap senior’ atau pun ‘pakcik-pakcik’.

Namun perubahan imejnya jauh ketara dalam tempoh kurang dari lima tahun kebelakangan ini. Di mana gayanya telah banyak diolah supaya mampu menarik perhatian golongan muda untuk memilikinya. Malah Mercedes-Benz turut mengakui perubahan radikal telah dilakukan terhadap kesemua barisan modelnya, sama ada bagi kelas kompak hinggalah ke premium.

Mercedes_A200_Ext_21

Antara model yang pastinya berjaya menarik perhatian golongan muda ialah barisan A-Class 2016 iaitu facelift terkini yang dilancarkan pada Mac lalu. Ini termasuklah A 200, A 250 Sport, dan Mercedes-AMG A45 serta varian terbaharu yang diperkenalkan iaitu A 180 Urban Line.

Untuk mengetahui adakah ia benar-benar menepati cita rasa golongan masa kini, kami sempat menguji varian A 200 AMG Line baharu ini.

Daripada pandangan hadapan hingga melewati bahagian belakang, tidak dinafikan, ia cukup sporty. Malahan sentuhan yang lebih segar jelas kelihatan pada bampar hadapan berbentuk anak panah walau pun ia diilhamkan dari konsep A-Class pada tahun 2011.

Ditambah pula dengan padanan lampu hadapan projektor rekaan baharu bersama teknologi LED yang mengapit gril baharu berbentuk berlian. Ia turut ditampilkan dengan lampu nyalaan siang LED. Dengan elemen yang ada termasuk lencana Mercedes-Benz yang nampak gah ini membuatkan sifat penuh kemewahan sangat menjalari bahagian hadapan.

Bahagian sisinya kelihatan garisan berkarakter yang menggambarkan ciri aerodinamik yang lebih optimum. Malah garisan itu yang melunjur dari bahagian tengah pintu hadapan ke pintu belakang secara menaik. Ia juga dilengkapi dengan skirt sisi yang menyerlahkan lagi sifat sporty.

Padanan rim bersaiz 18-inci yang dibaluti tayar 225/40R18 Continental ContiSport5 kelihatan cukup bergaya diperagakan. Tambahan pula pemegang pintu dengan perumah cermin sisi (bersama indikator) yang dicat sama dengan warna badan.

Mercedes_A200_Ext_12

Melewati bahagian belakangnya pula, rekaan baharu pada lampunya juga cukup menyerlahkan lagi penampilannya. Apatah lagi dengan kehadiran trim ekzos dua tip yang kelihatan tersembunyi pada bampar belakang.

A 200 ini masih kekal dengan ukuran 4,299 mm panjang, 1,780 mm lebar, setinggi 1,434 mm dan jarak roda 2,699 mm. Ia juga menampilkan ruang kargo berkapasiti 341 liter.

Secara keseluruhannya, imej luaran yang ditampilkan memang cukup menguja. Bancuhan ciri sporty, elegan dan mewah bersatu, secara tidak langsung memuncakkan lagi aura A 200 ini. Apatah lagi dengan warna badan bagi unit pandu uji ini iaitu South Sea Blue. Dari kejauhan sudah mampu memusatkan pandangan orang sekeliling.

Selain warna ini, A 200 turut tampil dengan rona standard iaitu Cirrus White, Mountain Grey, Cosmo Black dan Polar Silver. Jika ingin menampakkan kelainan, warna ini turut boleh dijadikan pilihan iaitu Elbaite Green, Orient Brown, Jupiter Red, dan Northern Light Violet.

Mercedes_A200_Int_23

Imej yang dipertaruhkan juga merajai bahagian kabinnya. Pastinya bahagian papan pemuka menjadi perhatian utama. Kalau diikutkan, tiada pembaharuan yang dibawa pada bahagian ini. Malah rekaannya masih kelihatan mirip dengan adik-beradiknya iaitu dari barisan A-Class.

Ia hanya dibezakan dengan grafik pada tulisan di butang-butang kawalan kekemasan ‘anodised’ yang direka agar kelihatan lebih mewah. Plastik sentuhan lembut pada papan pemuka juga menampilkan imej elegan. Malah ia juga dilatari lapisan kulit lembut untuk menyerlahkan lagi gayanya.

Konsol tengah masih menjadi pusat untuk tiga corong utama bagi penghawa dingin kawalan manual, selain turut menempatkan skrin informasi tunggal lapan-inci yang turut berfungsi sebagai system hiburan, pemain CD, dan butang kawalan penghawa dingin. Sementara itu, roda stereng tiga-jejari teleskopik ala sport balutan kulit dengan butang kawalan audio menyerlahkan gayanya.

Balutan fabrik dan kulit Alcantara pada tempat duduk turut menambahkan keselesaan. Malahan rona hitam dengan jahitan kontras merah yang pada tempat duduk, roda stereng, perehat tangan dan panel pintu memberikan kesan yang lebih sporty lagi. Tempat duduk hadapan juga boleh dilaras secara elektronik dengan fungsi memori. Di bawah tempat duduk penumpang hadapan juga terdapat tempat penyimpanan barang (seperti laci).

Kekemasan aloi pula terdapat pada pedal kawalan pendikit, brek dan pedal penukar gear di belakang roda stereng. Tuil gear di belakang stereng telah mengetepikan tuil gear konvensional. Sistem brek parkir elektronik juga digunakan lebih sesuai bagi hatchback mewah ini. Ia turut menampilkan kawalan kelajuan, tetapi tiada butang penghidup enjin sebaliknya menggunakan kunci secara konvensional untuk menghidupkan enjin.

Walau pun berada di tempat duduk belakang juga selesa, namun tiada penghawa dingin disediakan pada bahagian tersebut. Rasanya tidak menjadi masalah kerana corong penghawa dingin di hadapan masih boleh mengalirkan suhu sejuk pada segenap ruang memandangkan kabinnya bersaiz kecil.

Mercedes_A200_Ext_29

Bagi penjana kuasanya, A 200 menggunakan enjin yang sama dengan adik terbaharu dalam keluarga A-Class, A 180 Urban Line. Padanan enjin 1.6 liter empat-silinder 16-injap DOHC dengan suntikan terus bahan api dan pengecas turbo serta VVT membuatkan jentera hatchback ini mampu meledakkan kuasa sehingga 156 hp pada 5,300 rpm dan tork puncak 250 Nm pada 1,250 Nm. Walau pun menggunakan enjin yang sama dengan adiknya itu, A 200 ini sebenarnya mempunyai 36 hp dan 50 Nm lebih daripada A 180.

Ledakan enjin dengan pengecas turbo ini boleh diperoleh secara pantas malah cukup responsif. Tanpa perlu memberikan tekanan pada pedal pendikit, kuasa yang dihamburkan sungguh jinak. Walau bagaimana pun, jentera boleh bertindak sedikit agresif dan liar jika dalam kelajuan yang agak tinggi namun masih boleh dikawal dengan mudah.

Dengan padanan transmisi DCT tujuh-kelajuan dan pacuannya disalurkan menerusi roda hadapan, A 200 ini mampu dipacu dari 0-100 km/j dalam hanya 7.8 saat, malah berkeupayaan mencecah kelajuan maksimum sehingga 224 km/j. Walau bagaimana pun, apa yang penulis rasakan, kotak gear DCT tidaklah selancar DSG. Ini kerana kotak gear DCT lambat dalam bertindak balas, malah boleh dikatakan agak lembap. Jadi ‘feel’ pemanduan agak terencat dengan kelemahan ini.

Namun dalam kelajuan yang agak tinggi, terasa kesan olengan badannya yang sedikit ketara. Suspensi talaan AMG dengan menampilkan spring yang lebih keras ini antara penyumbang faftor olengan tersebut tetapi dalam masa yang sama ia membekalkan kestabilan yang lebih mantap. Terutamanya ketika jentera dalam kelajuan yang tinggi atau di selekoh. Kesan understeer juga mudah diatasi. Malah dengan suspensi talaan AMG ini, jentera A 200 ini direndahkan sedikit sebanyak 15 mm bagi kestabilan yang lebih optimum.

Mercedes_A200_Ext_31

Bagi memantapkan lagi pengendaliannya, seperti mana varian A-Class yang lain, A 200 ini turut ditampilkan dengan pilihan mod pemanduan “Comfort”, “Eco”, “Sport” dan “Individual” dengan pemilihan menerusi butang kawalan pada sistem Dynamic Select. Di mana sistem ini akan mengubah talaan enjin, stereng, transmisi dan juga penghawa dingin mengikut mod pemanduan yang dipilih.

Jika inginkan pemanduan biasa terutamanya di kawasan bandar, mod “Eco”, “Individual” dan “Comfort” memang cukup sesuai. Manakala pemanduan yang lebih agresif, pastinya pemilihan mod “Sport” mengubah rasa yang lebih mantap. Malahan kawalan pedal penukar gear juga menambahkan keseronokan pemanduan terutamanya di kawasan yang mempunyai pelbagai corak laluan termasuk berselekoh dan berbukit.

Diulang sekali lagi, dalam pemanduan yang laju, karakter A 200 ini memang boleh bertukar menjadi lebih agresif dan lebih bertenaga. Tetapi ia boleh menghasilkan kesan olengan dan rasa bumpy yang mungkin kurang menyenangkan terutamanya bagi penumpang di belakang.

Namun begitu, mengendalikannya masih terasa keselesaannya. Kabinnya seakan serap bunyi. Di mana bunyi-bunyi dari luar termasuk enjin dan seretan angin seperti tidak menyerap masuk ke dalam kabin.

Mercedes_A200_Ext_39

Mengikut ujian NEDC, A 200 ini mampu mencapai penggunaan bahan api sekitar 5.1 liter bagi setiap 100 km dan pelepasan emisi CO2 pula mencecah 119 gram bagi setiap km.

Tiada perubahan daripada segi aspek keselamatan, A 200 ini juga dilengkapi dengan tujuh beg udara, ABS dengan EBD, lampu brek adaptif, sistem bantuan untuk elak pelanggaran, bantuan parkir undur, pengesan parkir hadapan dan belakang, kawalan kestabilan, sistem brek kecemasan, dan Isofix.

A 200 AMG Line ini dijual pada harga atas jalan RM205,888 (berserta GST dan tanpa insurans). Ia turut didatangkan dengan waranti selama empat tahun bersama perbatuan tanpa had.

Secara konklusinya, A 200 AMG Line ini merupakan model kompak hatch yang tidak mengecewakan. Malahan ia bersifat praktikal serta mempunyai paras rupa yang cukup menarik. Secara tidak langsung, berupaya memberikan persaingan sengit buat model pesaingnya iaitu BMW 120i M Sport yang berharga sedikit murah darinya iaitu RM202,800 (tanpa insurans).