Mercedes-Benz E-Class Estate (BR 213), 2016

Enam bulan selepas sedan E-Class generasi baharu W213 didedahkan, Mercedes-Benz kini secara rasmi mendedahkan pula versi wagon model tersebut, iaitu S213 Mercedes-Benz E-Class Estate. Menurut Mercedes, wagon generasi baharu ini menawarkan ruang terbaik dalam kelasnya, walaupun mempunyai garis bumbung yang lebih rendah.

Garis bumbung tersebut ‘ditarik’ terus hingga ke bahagian belakang yang hampir menyerupai model C-Class Estate, dengan sepasang lampu belakang LED yang terbahagi dua, direka secara melintang. Perbezaan yang dapat dilihat adalah pada bar krom yang merentangi pintu tailgate belakang, kini dipanjangkan meliputi sepenuhnya lampu belakang.

Bahagian dalaman yang seiras dengan S-Class masih lagi dikekalkan yang terdiri dari liang penghawa dingin bulat, kemasan-kemasan yang dibalut dengan kulit dan motif kayu, pad sesentuh pada roda stereng, dan pilihan opsyen dua skrin besar bersaiz 12.3-inci untuk paparan instrumen dan sistem infotainmen COMAND. Sistem Plug & Play untuk iPAD bersepadu pada tempat duduk belakang juga ditawarkan.

Sebagai sebuah wagon, tentu sekali bahagian yang paling penting adalah pada ruang kargo belakang, di mana S213 ini menawarkan kapasiti 670 liter, dan ruang kargo keseluruhan 1,820 liter jika tempat duduk belakang dilipat sepenuhnya dengan nisbah 40:20:40. Walau bagaimanapun, angka tersebut sebenarnya telah berkurangan 25 dan 130 liter jika dibandingkan dengan model generasi terdahulu. Namun perehat badan untuk tempat duduk belakang kini boleh dicondongkan 10 darjah untuk memberikan lebih 30 liter kapasiti kargo, dengan masih mengekalkan penggunaan lima tempat duduk.

Mercedes-Benz E-Class Estate (BR 213), 2016

Pintu tailgate berkuasa Easy-Pack dilengkapkan secara standard. Jika dipadankan dengan sistem opsyenal Keyless-Go dengan fungsi akses Hands-Free, anda boleh membuka pintu tailgate tersebut hanya dengan ‘menendang’ bahagian bawah bampar belakang. Turut ditawarkan ialah ciri opsyenal penyambung treler yang mempunyai rak basikal pertama dalam dunia berupaya menahan beban sehingga 100 kg dan empat buah basikal. Pintu tailgate ini masih boleh dibuka dengan gerakan menendang walaupun ia telah dipasang dengan penyambung treler opsyenal.

Opsyen lain yang turut ditawarkan termasuk tempat duduk barisan ketiga menghadap ke belakang untuk kanak-kanak seperti yang terdapat pada model generasi sebelum ini bersama kit keselamatan bebanan Easy-Pack. Sistem suspensi udara pada bahagian belakang larasan-sendiri turut ditawarkan secara standard seperti sebelum ini, sementara sistem keseluruhan Air Body Control ditawarkan sebagai ciri opsyenal.

Badan wagon ini turut dilengkapi dengan pelbagai ciri untuk mengurangkan bunyi yang terhasil dari resonan-resonan pada badan besar kereta ini. Lantai utama dan bahagian hadapan badan kereta ini dilengkapi dengan pelbagai topang untuk menaikkan kadar keteguhan badan dan mengurangkan pemindahan bunyi. Bahan penebat khas turut dipasang pada badan kereta bersama penyerap bunyi pada bahagian bawah tempat duduk belakang dan pada kesemua ruang roda.

Mercedes-Benz E-Class Estate (BR 213), 2016

Talaan kinematik pada cesi, gandar dan stereng diberi sentuhan semula untuk mengurangkan ganguan yang disebabkan oleh permukaan jalan, tayar yang hilang keseimbangan dan ketika membrek. Cagak enjin dan transmisi telah dioptimakan dari segi bunyi, di mana beberapa model menerima cagak enjin boleh-ubah. Kedapan turut diapliaksikan pada pemegang pintu dan penghubung pintu, dan geometri pada kedapan tingkap sisi dan komponen dalam rel bahagian dalaman turut ditingkatkan untuk mengurangkan lagi bunyi.

Kedapan pada struktur bumbung dan bumbung matahari juga ditingkatkan, manakala bumbung matahari panaromik gelangsar menerima pelbagai ciri untuk mengurangkan bunyi angin (pemesong angin, ditambah dengan pelindung dan kedapan yang lebih baik) untuk memastikan S213 kekal senyap seperti model sebelum ini walaupun dengan lebih banyak bahagian yang boleh dibuka. Jika anda rasa ia tidak cukup senyap, model ini turut dilengkapi dengan pakej Acoustic Comfort yang menampilkan penambahan cermin hadapan akustik, tingkap yang menyerap inframerah dan lebih kedapan bunyi pada ruang kaki belakang dan terowong tengah.

S213 turut membawa ciri bantuan pemanduan advance dari model W213 termasuk Bantuan Brek Aktif dengan pengesan lintasan trafik opsyenal, Bantuan Stereng ketika mengelak, Bantuan Kekal Laluan Aktif, Bantuan Tukar Lorong Aktif, Bantuan Titik Buta Aktif dan Pre-Safe Plus.

Mercedes-AMG E-Class Estate (BR 213) 2016

Varian yang ditawarkan semasa dilancarkan termasuk E 200 dengan enjin petrol 2.0 liter turbo empat silinder berkuasa 184 hp pada takat 5,550 rpm dan tork maksima 300 Nm bermula 1,200 rpm hingga 4,000 rpm, dan juga varian E 250 berkuasa 211 hp dan 350 Nm. Turut ditawarkan, varian diesel tunggal E 220 d dijana enjin diesel 2.0 liter turbo baharu berkuasa 194 hp pada takat 3,800 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 1,600 hingga 2,800 rpm.

Barisan model akan ditambah lagi pada suku keempat tahun ini dengan E200 d berkuasa 150 hp/360 Nm, E 350 d dengan enjin 3.0 liter V6 turbodiesel berkuasa 258 hp pada takat 3,400 rpm dan tork maksima 620 Nm dari 1,600 hingga 2,400 rpm, serta E 400 yang dijana enjin petrol 3.0 liter V6 turbo berkuasa 333 hp dan tork maksima 480 Nm. Kesemua model dipadankan dengan kotak gear sembilan-kelajuan automatik 9G-Tronic secara standard.

Turut tersenarai dalam barisan varian wagon ini ialah Mercedes-AMG E 43. Model berprestasi tinggi sebenar ini dijana oleh enjin V6 dari E 400 tetapi dengan dua buah pengecas turbo, berkuasa 410 hp pada takat 6,100 rpm dan tork maksima 520 Nm bermula 2,500 hingga 5,500 rpm. Kesemua kuasa tersebut dihantar ke kesemua roda menerusi kotak gear 9G-Tronic dan sistem pacuan semua roda 4Matic, membolehkan wagon ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.7 saat dan mencatatkan kelajuan maksima yang dihadkan pada 250 km/j.


GALERI: Mercedes-AMG E 43 Estate