Satu lagi kematian kemungkinan berpunca dari beg udara berlaku di Malaysia – apa yang anda perlu tahu mengenai panggilan balik beg udara Takata

Honda airbag

Semalam dilaporkan berlaku satu lagi kemalangan yang menyebabkan kematian berpunca dari serpihan tajam dari beg udara buatan Takata. Perlanggaran antara Honda City dan Mercedes-Benz di Kota Damansara mengakibatkan seorang pemandu wanita berusia 44 tahun yang memandu Honda City terbunuh selepas dadanya tertusuk besi tajam yang terkeluar dari tengah roda stereng.

Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Buloh, mangsa ditemui dalam keadaan parah serta tidak boleh diselamatkan dan beg udara bahagian pemandu didapati pecah.

Jika ini masih dianggap sebagai suatu isu yang kurang serius bagi pemilik-pemilik kenderaan yang dipanggil balik untuk pemeriksaan lanjut berhubung masalah beg udara Takata, sukar untuk kata apa lagi. Pengedar di Malaysia turut mengulas, masih ramai yang tidak mengambil berat mengenai pemeriksaan beg udara ini.

Maka kejadian seumpama ini, kebarangkalian boleh berulang pada masa hadapan. Mengapa beg udara dikatakan boleh menjadi ‘pembunuh’ sedangkan tugasnya sepatutnya melindungi kita jika terbabit dalam kemalangan?

Panggilan balik yang melibatkan beg udara buatan Takata ini berpunca dari masalah inflator di dalamnya. Apabila kemalangan berlaku, hasil hentakan yang kuat boleh mengakibatkan besi di dalam inflator beg udara tersebut terkeluar, sekali gus mampu mengundang kematian.

Ia adalah perkara yang sangat serius dan perlu diambil berat oleh kita. Bukannya kita sekadar membaca perkara ini berlaku di US atau lain-lain negara. Masalah yang begitu serius ini telah pun berlaku di Malaysia, dan kejadian semalam bukanlah insiden pertama seumpamanya, malah kali ketiga!

Apa yang perlu anda lakukan sekiranya model kenderaan anda terlibat dengan panggilan balik oleh pengeluar kenderaan:

Panggilan balik beg udara Takata oleh Honda

Bagi Honda, terdapat dua kumpulan panggilan balik bagi beg udara Takata ini telah dilakukan. Pertama, ia melibatkan beg udara di bahagian pemandu. Dan panggilan kedua, pula iaitu beberapa hari lalu, melibatkan beg udara bahagian penumpang hadapan. Bagi kumpulan pertama, alat gantinya telah pun ada dan para pengedar sepatutnya sudah memiliki stok penukaran beg udara ini. Menurut wakil Honda Malaysia, apa yang perlu anda lakukan ialah segera menyemak status beg udara kenderaan anda.

Layari laman web Honda Malaysia dan klik pada VIN untuk menyemak adakah kenderaan anda terbabit dengan panggilan balik ini. Bagi beg udara bahagian pemandu, ia melibatkan model Accord (buatan tahun 2003-2007), City (2003-2013), Civic (2001-2011), Civic Hybrid (2003, 2007-2012), CR-V (2002-2011, 2013), Jazz/Jazz Hybrid (2003-2007, 2009-2013), Insight (2011-2013) dan Stream (2003-2005, 2007-2013).

Anda perlukan nombor VIN, atau pun lebih dikenali sebagai nombor casis. Ia boleh didapati menerusi kad pendaftaran JPJ, atau buku servis Honda, atau pada kenderaan itu sendiri. Lihat plat berwarna biru sama ada pada tiang tengah bahagian penumpang atau pun pada petak enjin.

Kunjungi pusat servis Honda bertauliah dengan kadar segera dan mohon untuk kenderaan anda diperiksa dan beg udara yang bermasalah itu perlu diganti. Tidak perlulah tunggu Honda Malaysia menghubungi anda, kerana anda sendiri perlu bertindak pantas. Malah Honda Malaysia telah memberikan arahan kepada para pengedarnya supaya melayan mana-mana pelanggan yang datang secara ‘walk-in’ untuk pemeriksaan dan penggantian beg udara ini.

Bagi kumpulan kedua pula, ia melibatkan beg udara di tempat duduk penumpang hadapan. Kami dimaklumkan alat ganti tersebut dijangka tiba sebelum akhir Julai ini. Sila periksa adakah kenderaan anda terlibat dengan menggunakan kaedah yang sama (menerusi VIN).

Model yang terlibat dengan kempen ini ialah Accord (buatan tahun 2003-2011), City (2009-2011), Civic (2007-2011), CR-V (2008-2011), Freed (2009-2011), Insight (2011), Jazz (2009-2011) dan Odyssey (2004-2008).

Buat sementara ini, kami ingin menasihati anda agar tidak menggunakan tempat duduk penumpang hadapan. Gunakan empat tempat duduk sahaja buat sementara waktu iaitu tempat duduk pemandu dan tiga tempat duduk penumpang belakang.

Pemilik kenderaan Honda boleh mendapatkan pengesahan mengenai perkara ini dengan menghubungi Honda Malaysia di talian 1-800-88-2020 untuk maklumat lanjut.

Panggilan balik beg udara Takata oleh Toyota

Manakala bagi Toyota pula, telah melakukan panggilan balik hampir 130,000 unit di Malaysia. Kumpulan pertama melibatkan 97,000 unit yang membabitkan model Camry, Corolla Altis, Vios, Yaris dan RAV4 bagi buatan tahun antara 2001 hingga 2007. Kumpulan kedua pula melibatkan Vios, Corolla Altis dan Yaris buatan tahun antara 2007 dan 2008.

toyota-recall-july-2015a

Apa yang perlu anda lakukan ialah hubungi Toyota Malaysia di talian 1800-8-869682, dari Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5.30 petang bersama nombor VIN kenderaan anda untuk semakan. Anda boleh memperoleh nombor VIN ini menerusi kad pendaftaran JPJ.

Jika kenderaan anda terlibat dengan panggilan balik ini, segera berhubung dengan mana-mana pusat servis Toyota berhampiran dan membuat temujanji bagi pemeriksaan dan penukaran beg udara. Menurut wakil Toyota Malaysia, alat ganti yang diperlukan kini sudah ada di Malaysia dan anda perlu membuat temujanji dengan mana-mana pusat servis Toyota bertauliah untuk tujuan tersebut. Klik di sini untuk mengetahui pusat servis Toyota berhampiran anda.

Toyota Malaysia turut mengesahkan pemeriksa VIN menerusi dalam talian sedang dibangunkan.

Panggilan balik beg udara Takata oleh Mitsubishi

Terdapat dua model Mitsubishi yang terlibat dalam panggilan balik beg udara Takata di pasaran Malaysia. Dengan sejumlah 895 unitm, ia melibatkan Mitsubishi Lancer (buatan tahun 2004-2006) yang terlibat dengan panggilan balik bagi beg udara penumpang.

Ia juga membabitkan model Triton (buatan tahun 2006 hingga 2014) yang melibatkan sebanyak 35,000 unit bagi beg udara bahagian pemandu yang terjejas.

Pemilik boleh menyemak status panggilan semula ini dengan memasukkan Nombor Pengenalan Kenderaan (VIN) di sini: semakan VIN bagi panggilan balik Triton atau semakan VIN bagi panggilan balik Lancer.

Jika terlibat, sila buat temujanji dengan mana-mana pusat servis Mitsubishi bertauliah atau hubungi talian khidmat pelanggan di 1-800-18-6611 (Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 5 petang) untuk bantuan segera. Anda boleh mendapatkan senarai penuh pusat servis dan nombor untuk dihubungi di sini.

Panggilan balik beg udara Takata oleh Nissan

Terdapat beberapa panggilan balik yang melibatkan beg udara bahagian penumpang hadapan untuk 12,444 unit kenderaan Nissan iaitu membabitkan model T30 X-Trail CKD, J31 Teana CBU dan M12 Liverty CBU. Daripada jumlah tersebut, lebih 12,000 unit adalah melibatkan model T30 X-Trail CKD.

Bagi pemilik model Nissan yang ingin mendapatkan pengesahan, sila hubungi Edaran Tan Chong Motor menerusi talian bebas tol 1800-88-3838, atau layari pautan ini dan memasukkan nombor VIN kenderaan anda untuk menyemak adakah ia terlibat.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 

Comments

 

Add a comment

required

required