Mercedes-Benz ternyata meneruskan langkah penuh gemilang sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Bagi enam bulan pertama tahun 2016, syarikat ini telah menghantar lebih daripada satu juta unit kenderaan ke seluruh dunia (1,006,619), iaitu lebih 12.1% berbanding rekod pada separuh pertama tahun 2015, sekali gus memecahkan rekod baharu bagi jenama ini.
Bagi rantau Eropah, Asia pasifik dan NAFTA (USA, Kanada dan Mexico), rekod baharu telah dicatatkan bagi Jun dan separuh pertama 2016. Di China, pasaran tunggal terbesar, jualan Mercedes-Benz telah meningkat lebih 30% bagi separuh pertama. SUV merupakan kenderaan terhangat di dunia buat masa ini, dan Merc telah memperluaskan jumlah jualannya sebanyak satu pertiga di seluruh dunia pada Jun.
“Ini menunjukkan produk kami kian mendapat tempat di pasaran dunia dan pengenalan terhadap pelbagai model SUV juga telah mencatatkan penerimaan yang kian menggalakkan dari para pelanggan kami,” ujar Ola Källenius, ahli lembaga pengarah yang bertanggungjawab dalam jualan dan pemasaran Mercedes-Benz.
Bagi jenama premium ini, di benua Eropah saja, sebanyak 444,581 unit telah diserahkan pada separuh pertama 2016, iaitu meningkat 13.3%. Di China pula, sebanyak 219,999 unit (+33.1%) dan Asia-Pasifik pula, jualannya berkembang melebihi 20%.
Jika mengikut segmen, model kompak termasuk A-Class, B-Class, CLA, CLA Shooting Brake, GLA telah dihantar kepada 319,626 pelanggan baharunya di seluruh dunia, meningkat 18.6%. Malah lebih 200,000 unit bagi C-Class saloon dan estate juga telah dijual, diasak oleh permintaan yang memberangsangkan di pasaran China. Barisan tersebut juga telah menerima kedatangan model baharu iaitu C-Class Cabriolet.
Model SUV yang paling mendapat jualan memberangsangkan, telah mencatat peningkatan rekod jualan sehingga 46.1% (339,541 unit) bagi separuh pertama 2016. Ditambah pula dengan pengenalan model baharu GLC Coupe yang telah memulakan produksinya di Bremen sejak Jun. Mercedes juga termasuk dalam jualan bagi jenama pintar dan syarikat ini berkata sebagai jenama kenderaan mikro bandar telah mencatatkan pencapaian terbaik bagi separuh pertama di Asia Pasifik.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.