Honda airbag

Honda Malaysia telah mengumumkan beg udara ganti telah pun tersedia stoknya dan mana-mana pemilik kenderaannya yang terlibat dengan penggantian beg udara bahagian hadapan buatan Takata yang disebabkan masalah inflator, boleh segera berkunjung ke pusat servis Honda bertauliah.

Buat setakat ini, Honda Malaysia telah menghantar surat pemberitahuan kepada lebih 240,000 pemilik kenderaan yang terlibat, makluman menerusi e-mel kepada lebih 35,000 pemilik dan sebaran mesej menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada lebih 126,000 pelanggannya. Malah turut melakukan inisiatif lain termasuk mengiklankan kempen panggilan balik ini serta liputan daripada pihak media bagi hebahan mengenainya.

Model yang terlibat dengan kempen ini ialah Accord (buatan tahun 2003-2011), City (2009-2011), Civic (2007-2011), CR-V (2008-2011), Freed (2009-2011), Insight (2011), Jazz (2009-2011) dan Odyssey (2004-2008).

Klik untuk besarkan imej

Pemilik model yang terlibat juga boleh menyemak status kenderaan anda dengan menggunakan kaedah semakan VIN menerusi laman web rasmi Honda Malaysia. Apa yang diperlukan ialah nombor VIN, atau pun lebih dikenali sebagai nombor casis. Ia boleh didapati menerusi kad pendaftaran JPJ, atau buku servis Honda, atau pada kenderaan itu sendiri. Lihat plat berwarna biru sama ada pada tiang tengah bahagian penumpang atau pun pada petak enjin.

Pemilik kenderaan Honda juga boleh mendapatkan pengesahan mengenai perkara ini dengan menghubungi Honda Malaysia di talian 1-800-88-2020 untuk maklumat lanjut.

Buat setakat ini, Honda telah melakukan panggilan balik yang melibatkan jutaan kenderaannya di seluruh dunia berhubung dengan inflator beg udara. Sebanyak lebih 100 insiden yang membabitkan kecederaan dan 13 kes kematian telah dicatatkan berlaku di seluruh dunia ekoran beg udara buatan Takata ini.

Malah tiga kematian juga dilaporkan berlaku di Malaysia, yang membabitkan Honda City dari generasi yang sama. Iaitu yang berlaku di Sabah yang melibatkan City tahun 2006 pada April, insiden kedua pula pada 1 Mei di Kedah (City 2003) dan terbaru di Kota Damansara pada 26 Jun lalu yang membabitkan perlanggaran kecil antara Honda City 2005 dengan sebuah Mercedes-Benz.