Mazda CX-5 dan 6 SkyActiv-D diesel bakal dilancarkan di Malaysia pada bulan ini, menurut pengedar Mazda tempatan. Malah harganya juga telah didedahkan menerusi laman Facebook Mazda – Sales Promo & News.

Bagi CX-5, ia bakal dijual pada harga RM166,335.71, iaitu lebih RM6,519.81 daripada model CX-5 2.5L 2WD sedia ada yang dijanakan oleh enjin petrol. Bagi Mazda 6 diesel pula, dikatakan harganya RM208,789, iaitu lebih RM8,445.22 berbanding Mazda 6 2.5L sedan petrol. Difahamkan, ia adalah harga atas jalan berserta insurans.

Kedua-dua model dikuasakan oleh enjin diesel 2.2 liter turbo-berkembar SkyActiv-D empat-silinder sebaris, dipadankan dengan transmisi automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan. Enjin ini boleh menghasilkan kuasa 172 PS pada 4,500 rpm dan tork 420 Nm pada 2,000 rpm.

Walau bagaimana pun, bagi CX-3 dan 2 diesel, tidak dinyatakan lagi harganya untuk pasaran tempatan. Kedua-duanya dijanakan oleh enjin diesel 1.5 liter SkyActiv-D empat-silinder dengan padanan transmisi automatik enam-kelajuan.