SPYSHOT: Honda CR-V generasi baharu sekali lagi dilihat sedang membuat ujian di atas jalan raya

Honda-CR-V-spyshots-4

Selain dari Honda Accord generasi kesepuluh, jurugambar pengintip kami turut berjaya mengambil gambar Honda CR-V generasi berikutnya yang sedang diuji dalam cuaca panas. Ini merupakan kali kedua SUV generasi kelima dari Honda ini dilihat sedang diuji diatas jalan raya. Model ini dijangka akan dilancarkan tahun hadapan, sempena ulang tahun ke-20 tahun CR-V dalam pasaran.

Walaupun unit yang sedang diuji ini masih dilitupi pelekat penyamaran sepenuhnya, tanpa kain penutup tambahan, bentuk badan sebenar CR-V ini jelas kelihatan. Bahagian hadapan dilihat masih membawa DNA rekaan dari model sedia ada, dengan sepasang lampu hadapan yang seperti ‘disikat’ kebelakang, mengapit gril hadapan dengan bar tebal merentangi bahagian tengah seterusnya menghasilkan imej ‘Honda Solid Wing’ iaitu rekaan signatur terkini Honda. Liang kemasukan udara bahagian tengah dan rekaan keseluruhan bampar hadapan turut kelihatan seiras dengan model sedia ada.

Imej unit prototaip yang dilihat sebelum ini meperlihatkan tingkap sisi bahagian belakang masih menyerupai model sedia ada yang berbentuk air mata, tetapi untuk model prototaip kali ini, Honda menambah pelekat tambahan pada bahagian berkenaan, menyelindungkan bentuk sebenarnya. Walau bagaimanapun, profil sisi CR-V masih boleh dilihat secara keseluruhan, menampilkan rekaan yang lebih anggun.

Lengkok pada bahagian belakang CR-V ini masih kelihatan sama dengan CR-V sedia ada. Tetapi berbeza dengan rekaan tradisi lampu belakang generasi-generasi sebelum ini yang direka secara menegak, CR-V generasi terbaharu ini menampilkan rekaan melintang. Buat pertama kali juga, rekaan pada lampu belakang CR-V menerima rekaan ‘two-piece’ di mana lampu pada badan turut bersambung pada lampu pada pintu tailgate belakang.

Honda-CR-V-spyshots-11

Berbanding dengan unit prototaip yang diuji sebelum ini, menampilkan tip ekzos berkembar, unit yang dilihat pada kali ini hanya menampilkan tip ekzos tunggal pada bahagian sisi kanan. Unit pada kali ini juga menampilkan lampu hadapan projektor berbanding unit sebelum ini yang dilengkapi dengan lampu LED sepenuhnya. Dengan ciri-ciri berkenaan, boleh disimpulkan model yang dilihat kali ini merupakan varian 2.0 liter menggunakan enjin R20A seperti model CR-V sedia ada, manakala prototaip yang dijumpai sebelum ini adalah dari varian berkuasa turbo.

Varian turbo berkenaan dikhabarkan akan menggunakan enjin 1.5 liter VTEC Turbo dari Civic generasi kesepuluh, menggantikan varian 2.4L yang menggunakan enjin K24A pada model sedia ada. Seperti tradisi pembinaan CR-V sejak generasi pertama, model terbaharu ini turut menggunakan platform Civic sebagai asas, dan berkongsi dengan Accord generasi berikutnya.

Turut dikhabarkan model terbaharu ini mempunyai dimensi lebih besar dari model generasi keempat. Honda Australia sebelum ini membayangkan CR-V generasi seterusnya mungkin akan hadir dengan pilihan tujuh-tempat duduk untuk membezakannya dari HR-V. Jika benar, CR-V mungkin akan mempunyai saiz seakan Nissan X-Trail dengan bentangan tempat duduk 5+2.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required