Minggu lalu, Toyota Camry generasi berikutnya kelihatan sedang diuji di atas jalan raya di Amerika. Terkini, ‘musuh tradisi’ Camry – Honda Accord generasi seterusnya pula dilihat sedang membuat ujian di atas jalan raya, juga di Amerika Syarikat.
Unit Accord yang sedang diuji berkenaan mengenakan penyamaran yang agak ‘berat’. Namun berdasarkan profil bahagian mukanya, gril dan rekaan bampar hadapan Accord ini adalah berdasarkan rekaan pada Accord generasi kesembilan.
Dimensi Accord baharu ini dijangka tidak bertambah secara drastik. Malah dimensi model generasi kesembilan sedia ada juga diukur sedikit kecil berbanding model generasi kelapan. Model baharu ini juga dilaporkan dibina menggunakan platform yang sama dengan Honda Civic generasi kesepuluh beserta konsep rekaan yang sama.
Untuk unit janakuasa, ia dijangka akan mengekalkan enjin dan transmisi dari Accord sedia ada, tetapi dengan talaan dan perincian yang lebih halus. Enjin empat-silinder dengan pengecas turbo turut dijangka akan ditawarkan pada Accord ini, bergantung pada pasaran.
Walaupun pasaran Amerika gemarkan enjin berkapasiti besar, enjin V6 mungkin digugurkan dari barisan varian Accord kerana undang-undang emisi yang semakin ketat. Ia dijangka akan digantikan dengan varian hibrid yang lebih berkuasa.
Jenama Accord kini sudah sudahpun berusia 40 tahun, dan Honda Accord generasi kesepuluh ini dijangka akan didedahkan pada bahagian kedua tahun hadapan, dan dilancarkan sebagai Honda Accord 2018.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.