Bezza_Security-3

Semasa pelancaran Perodua Bezza yang berlangsung di Hotel One World Bandar Utama malam tadi, Perodua turut mempamerkan sebuah Bezza versi kereta peronda keselamatan. Kereta berkenaan diubahsuai untuk menunjukkan aspek versatil pada Bezza, dalam usaha Perodua menarik pembelian secara pukal oleh pihak seperti polis atau syarikat-syarikat kawalan keselamatan.

Kereta peronda ini dibina daripada Bezza varian 1.3L Premium X, dikuasakan enjin 1NR-VE 1.3 liter Dual VVT. Enjin berkenaan mampu menghasilkan kuasa 94 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 121 Nm pada takat 4,000 rpm – cukup untuk melakukan tugas-tugas kawalan keselamatan. Kuasa dari enjin memacu roda hadapan menerusi kotak gear empat-kelajuan automatik.

Untuk mentransformasi Bezza ini kepada kereta peronda sebenar, ia dilengkapi pelbagai aksesori tambahan seperti lampu bar dan lampu strob LED pada bahagian luar, pelekat dengan tema sebuah kereta peronda sebenar pada keseluruhan badan serta sistem hubungan radio dan panel kawalan lampu bar pada bahagian dalaman.

Seperti dinyatakan tadi, Bezza peronda ini diasaskan dari varian Premium X. Jadi, ia masih dilengkapi dengan ciri standard varian berkenaan seperti roda aloi 14-inci, lampu kabus, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, sambungan USB dan Bluetooth, slot punca kuasa USB, dua beg udara, brek ABS lengkap dengan EBD.