CEO Proton Fuaad Kenali

Sebagai langkah untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan lepas jualan bagi kenderaan keluarannya, Proton antaranya bakal memulakan khidmat pusat tuntutan jaminan tujuh hari seminggu tidak lama lagi. Ia akan melibatkan cawangan dan pusat servis dan jualan sedia ada yang mempunyai kepadatan pengguna yang tinggi terlebih dahulu. Sebelum ini, hanya pusat jualan Proton beroperasi tujuh hari seminggu.

Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali menyatakan perkara itu ketika mengulas berkaitan rancangan beliau sebagai pengemudi baharu syarikat pengeluar kenderaan nasional berkenaan. Beliau menggariskan tiga tunjang utama perubahan drastik bagi aspek khidmat lepas jualan Proton, yang memerlukan pemerhatian dan tindakan segera untuk meraih semula keyakinan pelanggan.

Dua lagi perkara utama yang kini sedang diteliti dan diambil tindakan segera oleh pihak pengurusan Proton ialah dengan menstrukturkan semula terhadap pemerhatian dan kendalian perkhidmatan diperingkat bahagian dan daerah. Kedua, ia turut melibatkan latihan perubahan minda serta pertambahan juruteknik di pusat servisnya. Pengumuman lanjut berkaitan perkara ini akan dilakukan dalam jangka masa terdekat.

Beliau juga turut mengesahkan bahawa Proton akan melancarkan tiga model baharu dalam tempoh tiga bulan akan datang; bermula dengan Persona pada Ogos, Saga pada September dan Ertiga pada Oktober nanti.