Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Datuk Ahmad Fuaad Kenali di dalam satu sidang media mengumumkan bahawa bermula Ogos nanti, pelancaran model baharu syarikat berkenaan akan diteruskan momentumnya.

Selepas melancarkan Proton Perdana 2016 Jun lalu, Proton Persona 2016 bakal menjadi model baharu seterusnya yang akan diperkenalkan Ogos nanti. Jika semuanya mengikut perancangan, dua lagi model akan mengikut jejak yang sama; iaitu model Saga baharu yang dijangka akan diperkenalkan pada September dan diikuti model MPV yang berdasarkan model Suzuki Ertiga pada Oktober nanti.

Persona 2016 dibangunkan menggunakan platform Iriz, manakala model Saga kelihatannya bakal menerima wajah baharu yang menyeluruh, termasuk di bahagian luaran dan dalamannya. Kedua-duanya turut menerima peningkatan dari aspek kejuruteraan dan mekanikal yang lebih signifikan.

Bagi Ertiga pula, ia akan ditawarkan sebagai model dari segmen-B bagi MPV, dan tidak akan bertembung dengan segmen yang diwakili model Exora sedia ada.