IMG_5858_BM

Proton Saga 2016

Sebelum ini semua sumber imej spyshot untuk Proton Saga, Persona dan Perdana 2016 adalah sumbangan dari pembaca kami. Tetapi kali ini kami berjaya untuk menangkap sendiri gambar untuk Saga dan Perdana, manakala pembaca kami, Ong Bahk dan Hanafi juga turut menyumbangkan gambar Proton ‘tiga-beradik’ yang bakal dilancarkan tahun ini.

Gambar terbaharu Saga yang kami baru terima menampakkan rupa hadapan yang lebih terperinci dengan menampilkan muka direka semula. Rekaan semula tersebut termasuk pada bahagian lampu hadapan, bampar hadapan yang lebih menarik, dan liang kemasukan udara yang menghala kebawah untuk imej yang lebih sofistikated.

Rupa badan keseluruhan nampaknya tidak menampilkan apa-apa perubahan berbanding ‘kelibat’ Saga baharu yang ditemui sedang diuji sebelum ini. Bentuk tiang-C, pemegang pintu seiras Iriz, garisan badan bahagian sisi yang lebih rendah kehadapan berbanding Saga sedia ada dan juga bahagian belakang dengan pintu yang mempunyai tingkap quater window dan lampu belakang berbentuk trapezoid memberikan sedan mampu milik ini rupa yang lebih elegan.

IMG_5852_BM

Proton Saga 2016

Unit janakuasa yang memacu Saga terbaharu ini masih menjadi tanda tanya. Tetapi, Saga baharu ini berkemungkinan dikuasakan dengan enjin 1.3 liter VVT yang sama seperti Iriz dan dipadankan dengan pilihan transmisi manual lima-kelajuan atau CVT automatik. Untuk peringkat seterusnya, Saga baharu ini mungkin juga akan dijana oleh enjin baharu 1.0 liter dan 1.2 liter Proton yang kini masih dalam peringkat pembangunan dan dijangka mula memasuki produksi pada penghujung 2017.

Seterusnya, Persona 2016. Gambar kali ini juga menampakkan bahagian hadapan ‘Iriz Sedan’ ini dengan lebih jelas. Berbanding Iriz, bonet dan gril hadapan Persona telah direka semula. Begitu juga pada lampu kabus, di mana Persona menerima lampu berbentuk bulat berbanding Iriz berbentuk segitiga. Model yang sedang diuji ini berkemungkinan bukan varian tertinggi memandang ia dilengkapi dengan lampu hadapan reflektor, berbanding Iriz yang menggunakan lampu projektor halogen.


Proton Persona 2016

Tiang-C Persona kelihatan agak seiras dengan Saga 2016. Lampu belakang berbentuk badam dan bahagian but yang tinggi masih kelihatan sama seperti imej spyshot sebelum-sebelum ini. Proton Persona 2016 juga dijangka akan dikuasakan dengan pilihan enjin yang sama seperti Iriz iaitu enjin 1.3 liter atau enjin 1.6 liter VVT semasa pelancarannya nanti. Model ini juga turut dijangka bakal menggunakan enjin baharu 1.3 liter dan 1.6 liter pancitan terus (GDI/TGDI) Proton selepas produksi enjin tersebut dimulakan akhir 2017 nanti.

Akhir sekali, Proton Perdana. Tidak seperti dua model lebih kecil tadi, kami telah pun melihat rupa sebenar Proton Perdana 2016 yang diasaskan dari Honda Accord generasi kelapan ini. Tidak banyak perubahan yang saksikan pada imej Perdana spyshot berkenaan. Daripada tiga beradik tersebut, Perdana dijadualkan akan dilancarkan dahulu tidak lama lagi.


2016 Proton Perdana

Seperti yang diketahui, Perdana 2016 dibina berasaskan Honda Accord generasi kelapan. Oleh itu penjana juga adalah kekal sama iaitu enjin R20A3 SOHC i-VTEC untuk varian 2.0 liter berkuasa 154 hp/189 Nm dan enjin K24Z2 DOHC i-VTEC untuk varian 2.4 liter berkuasa 177 hp/222 Nm. Kedua-dua enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear lima-kelajuan automatik.

Sama seperti barisan model lain, Perdana turut akan menerima enjin baharu Proton setelah program pembangunan enjin tersebut lengkap dan mula memasuki produksi pada penghujung 2017. Perdana dijangka dipadankan dengan enjin turbo NE01 2.0 liter empat-silinder yang diperolehi daripada Petronas pada tahun 2012 dan juga enjin turbo 1.5 liter pancitan bahan-api terus (TGDI) yang didakwa mampu menghasilkan kuasa 180 hp/250 Nm. Kedua-dua enjin ini bakal dipadankan dengan kotak gear CVT torque converter automatik baharu.