2015-proton-exora-teks1m-taxi-malaysia

Kadar tambang teksi baharu sedang dirangka sebagai salah satu langkah yang diambil dalam rombakan operasi Teksi 1Malaysia (TEKS1M) dan teksi bajet tidak lama lagi, lapor The Sun Daily.

Langkah yang dicadangkan berkenaan akan membantu teksi konvensional untuk bersaing dalam transformasi industri teksi yang turut akan membenarkan servis e-hailing beroperasi secara sah menjelang hujung tahun ini.

“Ia akan menjadi struktur tambang yang dinamik dan akan membabitkan meter teksi baharu dengan GPS untuk penilaian prestasi,” kata pegawai senior kerajaan yang terlibat dengan jawatankuasa antara agensi untuk memuktamadkan cadangan rombakan semula industri teksi dan model e-hailing kepada The Sun.

Kali terakhir tambang teksi bermeter dinaikkan adalah pada Mac tahu lalu. Setakat ini, tambang TEKS1M bermula dari RM4, dengan 30 sen untuk setiap 200m manakala untuk teksi bajet pula tambang bermula dari RM30 dengan 25 sen setiap 200 meter.Kadar tambang berdasarkan masa untuk teksi bajet pula ialah 25 sen bagi setiap 36 saat manakala untuk TEKS1M pula ialah 30 sen untuk 36 saat.

Walau bagaimanapun tiada kadar tambang rasmi yang akan ditetapkan untuk servis e-hailing, di mana pengendali jaringan pengangkutan berdasarkan aplikasi online (TNO) seperti Grab dan Uber bebas untuk menetapkan kadar tambang mereka.

Malaysia-Taxi-03

“Terpulang kepada TNO untuk menetapkan kadar tambang yang lebih murah berbanding teksi.

“Selain itu, tiada juga undang-undang menyatakan adalah menjadi kesalahan untuk pemandu teksi atau penyedia pengangkutan untuk menawarkan tambang lebih rendah dari kadar tambang yang ditetapkan.

“Desakan pasaran akan membentuk trend tambang dalam jangka masa panjang,” jelas sumber berkenaan lagi.

Surcaj atau kadar tambang lebih tinggi automatik apabila permintaan teksi tinggi yang kini diamalkan oleh TNO juga akan dibenarkan dan mungkin turut diimplentasikan kepada teksi konvensional.

“Pengguna akan membuat keputusan sendiri servis yang mana lebih menarik untuk digunakan – teksi konvensional atau Uber, sebagai contoh” kata sumber berkenaan lagi.

Walau bagaimanapun, teksi konvensional masih mempunyai kekuatan mereka sendiri di mana TNO tidak boleh mengambil penumpang seperti teksi biasa dan kadar tol yang lebih rendah.

easy-taxi-super-easy-taxi 259

“Pemandu E-hailing dengan kereta persendirian tidak boleh beratur di perhentian teksi di pusat membeli belah, hotel, hab pengangkutan atau stesen LRT. Mereka hanya boleh mengambil penumpang menerusi aplikasi, iaitu dari tempahan dalam aplikasi berkenaan.

“Teksi biasa masih lagi mempunyai kelebihan berbanding pemandu e-hailing dalam banyak hal seperti tol lebuhraya yang lebih rendah dan mengambil penumpang di tempat yang dikhaskan,” jelasnya.

Grab dan Uber juga bakal diberikan logo yang perlu dilekatkan pada pintu atau cermin hadapan kereta mereka bagi tujuan pengenalan.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mencadangkan rombakan terhadap model TEKS1M kepada Kabinet dengan menyediakan peluang kepada pemandu teksi untuk mendapatkan permit teksi persendirian dan dana khas untuk pembelian teksi baharu. Kabinet juga perlu membuat keputusan untuk 11 inisiatif yang dicadangkan SPAD bulan hadapan.

Big-Blue-Taxi-02

Sementara itu, pemilik Big Blue Capital (M) Datuk Shamsubaharin Ismail (gambar diatas) berkata, rombakan berkenaan akan memberikan keuntungan kepada aplikasi e-hailing seperti Uber dan Grab berbanding memenuhi objektifnya. Beliau mendakwa berbanding menolong pemandu keluar dari sistem pajak dan menuju kearah keusahawanan, cadangan berkenaan dilihat akan memberikan peluang yang lebih besar kepada aplikasi e-hailing.

“Pelan tranformasi ini tidak membantu industri teksi atau pemandu teksi tempatan tetapi lebih membenarkan aplikasi e-hailing menguasai pasaran,” kata beliau. Shamsubahrinjuga berkata pengeluaran permit teksi individu bukanlah perkara baharu kerana ia telahpun dilakukan pada 2013 di mana sejumlah 2000 permit dikeluarkan di bawah fasa pertama TEKS1M.

Shamsubahrin juga mengatakan tidak semua pemandu teksi mengambil peluang berkenaan kerana kesukaran mendapatkan pinjaman bank dan mendesak SPAD menumpukan kepada penguatkuasaan menggunakan Akta Pengangkutan Awam Darat untuk menghukum mana-mana pengendali pengangkutan awam yang melanggar mana-mana undang-undang pengangkutan awam.

Tags: