Public-Parking-Lots

Penstrukturan semula caj parkir di kawasan pusat perniagaan (CBD) bakal diketahui dalam beberapa hari lagi, ujar Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Ia sedang disemak semula dan kita akan membuat keputusan tidak lama lagi, tunggu pengumuman dalam beberapa hari lagi,” ujarnya menurut laporan The Sun.

Car parkir bagi beberapa kawasan termasuk Mont Kiara, Bangsar, Sri Hartamas dan Kepong akan dinilai semula, dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah pun membatalkan kadar parkir baharu di Taman Tun Dr Ismail yang dianggap sebagai kawasan penempatan penduduk.

Pada 18 Julai lalu, DBKL telah menaikkan kadar caj parkir sebanyak 150%. DBKL mempunyai sejumlah 46,100 meter petak parkir di sekitar ibu kota dan 9,916 daripadanya terletak di CBD. Di mana caj parkir bagi kawasan itu dinaikkan dari RM0.80 sejam ke RM2 jam untuk sejam pertama. Selepas itu, caj sebanyak RM3 akan dikenakan pada jam kedua dan berikutnya.

“Kami telah menerima maklum balas daripada orang awam dan segelintir daripada mereka dapat menerima kenaikan ini, dan ada yang tidak,” ujar Adenan lagi.

Sebelum ini, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mohd Amin Nordin Abdul Aziz berkata, keputusan untuk menaikkan kadar caj parkir bukanlah atas dasar keuntungan, tetapi bagi mengurangkan kesesakan trafik di bandar dan menggalakkan masyarakat berkongsi kenderaan atau menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam.

“Kami mahu mengosongkan sebanyak mungkin ruang parkir di tepi jalan di kebanyakan jalan di kawasan dalam bandar dan menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam atau berkongsi kenderaan jika memasuki pusat bandar. Saya sedar saya tidak akan menjadi seorang yang begitu dikenali, tetapi ini terpaksa dilakukan kerana trafik di KL sudah menjadi semakin padat dan terlalu sibuk,” ujarnya.