Proton Perdana Test Drive 18

Menteri Perdagangan dan Industri Antarabangsa Datuk Seri Mustapa Mohamed mengesahkan beberapa syarikat pengeluar kenderaan dari Eropah, China dan Jepun telah menyuarakan hasrat mereka untuk menjadi rakan strategik Proton.

Beliau turut berkata, kerajaan akan memberikan peluang untuk Proton membuat keputusan sendiri, di mana syarikat tersebut mempunyai beberapa kriteria yang perlu dipertimbangkan untuk memilih rakan strategik, laporan The Star.

“Kerajaan mahu Proton memastikan rakan strategik itu memiliki keupayaan untuk menaikkan semula syarikat tersebut. Mereka perlu memiliki teknologi, modal dan rangkaian eksport,” ujar Mustapa lagi kepada pihak media.

Tambahnya lagi, perkongsian strategik antara Proton dan rakan sejawat asing itu adalah perlu untuk membantu syarikat tersebut, sebagai pemain industri di peringkat antarabangsa, sekaligus mampu mengembangkan perniagaannya.

Beberapa hari lalu, Madani Sahari, CEO Institut Automotif Malaysia (MAI) turut berkata, beberapa pengeluar peralatan tulen (OEM) di peringkat global telah menghantar kertas cadangan masing-masing, dan kini Proton sedang menilai setiap satu daripadanya.

Proton telah menerima pinjaman mudah bernilai RM1.5 bilion daripada kerajaan, namun ia perlulah menepati beberapa syarat yang telah ditetapkan, termasuk mengenalpasti rakan kongsi asing. Sebagai tambahan, pelan strategik juga telah dipertingkatkan bagi memperluaskan pasaran tempatan, selain menembusi pasaran antarabangsa.