Bosch-Annual-report_BM

Bosch Malaysia mencatatkan angka jualan RM664 juta untuk tahun 2015, daripada jumlah keseluruhan RM306 bilion yang dicatatkan kumpulan tersebut untuk peringkat global. Jumlah berkenaan mewakili kenaikan sebanyak 10% berbanding angka jualan tahun lalu.

“Kami telah melangkaui jangkaan perniagaan kami sendiri pada tahun lalu dengan perkembangan di atas pasaran untuk semua jabatan kami,” kata Pengarah Urusan Bosch Malaysia, Simon Song.

Pertambahan jualan berkenaan adalah hasil pelaburan sebanyak RM138 juta pada operasinya di Malaysia, dengan majoriti dari pelaburan tersebut adalah digunakan untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D). Ini merupakan sebahagian dari RM28 bilion pelaburan global untuk R&D, iaitu sekitar lapan hingga 10% dari pulangan global, kata Song.

Proton_Iriz_Review_-003

Bosch turut memperbesarkan lagi kilang multimedia kereta mereka di Pulau Pinang pada April tahun ini, dalam usaha mereka untuk projek pembangunan solusi perhubungan kenderaan masa hadapan. Untuk penyelesaian mobiliti, jualan Bosch juga dilihat meningkat, yang disumbangkan dari segmen produk baharu seperti minyak pelincir kenderaan dan barang-barang yang cepat dijual lain.

Pada 2015, kilang automotif Bosch di Pulau Pinang mula membekalkan sistem stereng berkuasa elektrik untuk pengeluar automotif tempatan (secara spesifiknya untuk Proton Iriz) iaitu segmen OEM baharu untuk operasi mereka di sini. Malaysia juga dipilih sebagai fasiliti R&D global untuk pembangunan Unit Kawalan Perhubungan (CCU), untuk pasaran Eropah dan China.

Untuk 2016 pula, Bosch menjangkakan pendapatan mereka akan berkembang antara tiga hingga lima peratus bagi peringkat global. Bosch Malaysia merupakan penyumbang kedua terbesar dalam operasi Bosch Asia Tenggara, dan mempunyai kakitangan seramai 2,600 orang – lebih 4,000 orang jika digabungkan bersama staf operasi pengeluaran – menjadikan ia pasukan kakitangan Bosch terbesar dalam rantau ASEAN.