BMW Driver Training – asah kemahiran memandu

20160625_1017

Saban tahun, BMW akan mengadakan program BMW Driver Training khas untuk anda mengasah bakat pemanduan. Dua kategori kelas disediakan iaitu kelas Advanced Driver Training yang menekankan asas keselamatan semasa memandu manakala kelas Intensive Driver Training yang akan memberikan panduan dan latihan terhadap pemanduan berprestasi tinggi.

Tahun ini saya bertuah kerana dijemput untuk menyertai BMW Advanced Driver Training yang diadakan di Litar Antarabangsa Sepang. Selain dari BMW, Continental Tyres Malaysia juga turut hadir sebagai pembekal tayar untuk program ini. Kami berada seharian di SIC bermula 8.30 pagi hingga 6.30 petang, dipenuhi dengan pelbagai latihan memandu yang mengujakan menggunakan BMW 120i M Sport baharu, dibimbing oleh tenaga pengajar profesional.

20160625_1064

Program dimulakan dengan kelas teori pemanduan terlebih dahulu yang diadakan selama 60 minit. Setelah itu, kelas praktikal pertama dimulakan dengan cara-cara mendapatkan posisi yang betul semasa memandu.

Secara ringkas, posisi yang betul untuk duduk di tempat duduk pemandu adalah; kepala anda perlu berjarak empat jari dari bumbung (untuk memastikan mata anda mendapat sudut pandangan paling jelas), kepala berada pada perehat kepala dengan jarak minimum (untuk memastikan leher tidak menanggung beban berlebihan sekirannya anda dilanggar dengan kuat dari bahagian belakang), dan dada tidak terlalu jauh atau terlalu dekat pada stereng dengan memastikan stereng berada pada pergelangan tangan ketika anda duduk tegak (untuk memastikan anda boleh menekan pedal brek sepenuhnya jika diperlukan).

Kemudian kami bergerak ke lapangan latihan memandu yang pertama – untuk latihan slalom. Latihan ini adalah untuk membiasakan kami menggunakan teknik yang betul memutar stereng tanpa menyilangkan tangan. Teknik ini memerlukan kami sentiasa memegang stereng pada kedudukan pukul-2 dan pukul-10, dan menggunakan teknik menolak roda stereng jika putaran melebihi 180 darjah diperlukan.

20160625_1090

Selesai aktiviti slalom, kami bergerak pula untuk latihan mengelak halangan secara mengejut. Aktiviti ini memerlukan kami mengelak halangan pada kelajuan 70 km/j tanpa menekan brek iaitu simulasi mengelakkan sesuatu yang tidak diduga ketika sedang memandu di lebuh raya. Sebuah kon diletakkan di tengah laluan yang perlu kami elakkan dengan ruang yang cukup sempit.

Perkara utama untuk lulus dalam latihan ini adalah, kami diajar untuk melihat kepada ruang yang ada untuk mengelak, berbanding terus melihat kepada objek yang menjadi halangan berkenaan. Ternyata, tunjuk ajar dari tenaga pengajar terbukti benar, setelah kami berjaya mengelak halangan secara mengejut dengan memfokuskan ruang mengelak yang ada, walaupun pada jarak yang sangat sempit.

Latihan diteruskan selepas rehat makan tengah hari, di mana kali ini kami diberikan latihan untuk mengagak jarak berhenti ketika membuat brek kecemasan. Untuk permulaan kami dibiasakan dengan karekter sistem ABS pada kereta ketika brek ditekan sepenunhnya semasa kecemasan. Kemudian, teknik membrek kami diperkemaskan dengan latihan mengagak jarak ketika membrek kecemasan pada kelajuan-kelajaun tertentu.

Selepas itu, latihan diteruskan pula dengan latihan memperbetulkan arah kereta ketika berlakunya understeer. Understeer ialah situasi di mana kereta tidak mahu bergerak kearah pusingan stereng, sebaliknya terus terbabas kehadapan. Ia biasanya berlaku jika pemandu masuk keselekoh dengan kelajuan yang terlalu tinggi atau dalam keadaan jalan yang basah. Untuk latihan ini, kami diajar untuk menggunakan sepenuhnya sistem Kawalan Stabiliti Kenderaan (ESP) yang dilengkapi pada BMW 120i M Sport ini, meredah selekoh buatan yang telah pun dituang dengan cecair yang licin.

Setelah selesai dengan latihan understeer, kini tiba untuk latihan yang paling seronok dalam program ini iaitu mematikan sistem ESP dan mengawal pergerakan oversteer BMW 120i M Sport. Oversteer dalam bahasa mudahnya seringkali dirujuk sebagai ‘buang belakang’. Latihan ini dilakukan diselekoh yang sama, dengan dituang bahan pelincir yang sama ketika latihan understeer.

Mengapa sistem ESP perlu dimatikan ketika latihan ini? Kereta-kereta baharu yang dilengkapi sistem ESP adalah mustahil untuk ter’buang belakang’ kerana kesemua angkup breknya dikawal oleh komputer ESP. Oleh itu, satu-satunya cara untuk merasai oversteer adalah mematikan sistem ESP.

Sebelum kami diajar bagaimana untuk mengawal oversteer, setiap peserta dimestikan merasa bagaimana kereta berpusing di selekoh. Jadi kesemua kami perlu untuk menekan maksimum pedal pendikit di selekoh yang licin, dan nyata aktiviti ini mengukir senyuman setiap peserta.

Selepas itu, kami diajar pula bagaimana untuk mengawal kereta dari berpusing ketika situasi ini. Secara asasnya, sekali lagi pemandu perlu melihat ruang dan arah yang tuju selamat. Kemudian, pedal pendikit perlulah dilepaskan dan roda stereng dikawal kearah laluan yang telah ditentukan tadi. Untuk peserta yang berpengalaman, ini masanya untuk memperlihatkan kemahiran drift mereka!

Latihan terakhir adalah ujian untuk menggunakan seluruh kemahiran yang telah diajar sepanjang hari ini. Sebuah litar gymkhana kecil dibuat menggunakan kon – merangkumi laluan slalom, selekoh ‘U’ besar, diakhiri dengan sebuah petak berhenti – dan setiap peserta perlu bertanding antara satu sama lain untuk mencatatkan masa terpantas dalam litar tersebut. Masa keseluruhan yang dicatat akan ditolak lima saat untuk setiap kon yang dilanggar oleh peserta.

20160625_1320

Sebelum program ini tamat, kesemua peserta diberi peluang untuk duduk didalam BMW 120i M Sport yang dipandu oleh pemandu professional, mengelilingi litar lengkap SIC.

Dengan disiplin yang ditunjukkan oleh tenaga pengajar dan peserta, acara ini tamat tepat pada waktunya iaitu sekitar pukul enam setengah petang. Ia diakhiri dengan minum petang serta majlis penyampaian sijil untuk semua peserta dan juga penyampaian hadiah untuk mereka yang mencatatkan masa terpantas dalam perlumbaan gymkhana.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

Certified Pre-Owned - 1 Year Warranty

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Mohd Farid Awaludin

Farid mula menggilai kereta dengan menghafal logo dan jenama kereta ketika berumur 4 tahun, dan selanjutnya belajar membaiki kereta di institut kemahiran awam tempatan. Selalu membayangkan diri menjadi kerdil masuk ke dalam sistem mekanikal untuk diagnosis masalah dan memahamkan diri sendiri berkenaan teknologi baru. Dek selalu berangan mahu jadi seperti Tiff Needell, akhirnya diberi peluang untuk menyertai dunia media permotoran pada tahun 2012.

 
 

Add a comment

required

required