Hyundai_i20-2

Hyundai telah melancarkan model i20 hatchback pada acara Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2016 yang sedang berlangsung. Hatchback segmen-B lima pintu ini yang dipasang di India ini dijana oleh enjin petrol 1.4 liter Kappa berkuasa 100 PS/133 Nm, yang dipadankan sama ada kotak gear enam-kelajuan manual atau empat-kelajuan automatik. Model ini menggantikan model Hyundai Grand Avega untuk pasaran Indonesia sebelum ini.

Generasi kedua i20 ini membuat kemunculan sulungnya pada Ogos 2014, dan dibina di Turki untuk Eropah dan India untuk bahagian lain di dunia. Di India, hatchback ini dikenali sebagai Elite i20 dan ditawarkan dalam dua pilihan enjin iaitu 1.2 liter Kappa berkuasa 83 PS/115 Nm dan kotak gear lima kelajuan, serta enjin 1.4 liter U2 CRDi turbodiesel berkuasa 90 PS/220 Nm dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan manual. Varian SUV crossover juga turut ditawarkan pada beberapa pasaran. Badan dan nama i20 ini digunakan oleh Hyundai dalam membawa cabaran mereka di dalam kejohanan Rali Dunia (WRC) buat masa sekarang.

Hyundai_i20-12

Untuk pasaran Eropah, i20 hatchback turut ditawarkan dengan pilihan enjin turbo berkapasiti kecil iaitu enjin 1.0 liter tiga-silinder dengan dua versi kuasa – 100 PS/171 Nm dan versi T-GDi 120 PS/171 Nm.

Pada pasaran Indonesia, Hyundai i20 merupakan hatchback premium yang dijual pada harga 249 juta rupiah (RM76,454) untuk model manual dan 263 juta rupiah (RM80,730) untuk model automatik. Kereta yang berwarna merah dalam gambar adalah model sebenar untuk pasaran Indonesia, manakala yang berwarna hitam hanyalah show car yang diserlahkan dengan kemasan merah serta roda aloi bersaiz 18-inci.

Setakat ini, tiada lagi ura-ura berkenaan Hyundai-Sime Darby akan mengimport model ini ke Malaysia atau tidak. Jika ia mendarat di pasaran tempatan, sudah pasti model import sepenuhnya (CBU) ini akan berhadapan saingan yang sukar dan kurang kompetitif dengan Honda Jazz CKD.