Pemandu teksi bimbang TITP akan jejaskan industri

Malaysia-Taxi-03

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) telah mendedahkan Pelan Transformasi Industri Teksi (TITP) yang telah diluluskan kabinet semalam. Pelan Transformasi berkenaan dibina berasaskan empat prinsip utama iaitu levaraj pada teknologi, meningkatkan pendapatan pemandu teksi, meningkatkan kualiti servis pemandu teksi serta merasionalkan tambang teksi.

Walau bagaimana pun, pemandu teksi konvensional menganggap TITP mampu menjejaskan industri ini, berbanding meningkatkan perkhidmatan sedia ada, laporan The Star

CEO Big Blue Taxi, Datuk Shamsulbahrin Ismail menyatakan pendapatnya mengenai 11 inisiatif yang diperkenalkan oleh SPAD itu dengan melabelkannya sebagai “tiada perkara baharu”.

Beliau turut berkata, dengan membenarkan apa jua kereta sebagai teksi bakal memberikan kerugian kepada industri.

“Inisiatif ini lebih menggambarkan SPAD ingin perkhidmatan Uber (dan lain-lain perkhidmatan) dibenarkan dan ia bukanlah untuk industri teksi. Malah tiada peraturan yang spesifik bagi jenis kenderaan yang layak untuk dijadikan teksi,” ujarnya.

Tambahnya lagi, beliau telah menulis surat khas kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk berbincang lebih lanjut mengenai perkara ini.

“Apa yang kami mahukan ialah Kerajaan sanggup mengeluarkan lebih kos untuk penguatkuasaan dan infrastruktur bagi membantu menjanakan pendapatan para pemandu teksi,” sambungnya lagi.

Menurut Shamsulbahrin lagi, 11 inisiatif TITP ini sepatutnya bagi mempertingkatkan banyak aspek sedia ada termasuk mendapatkan insurans yang lebih bersesuaian untuk para pemandu teksi.

Taxi protest KL 8 April 2016 feat 1

Presiden Persatuan Transformasi Pemandu Teksi Malaysia (Pers1m) Kamaruddin Mohd Hussain pula berkata, perubahan yang dilakukan oleh SPAD ini bermakna semua teksi dan perkhidmatan perkongsian kenderaan akan beroperasi di bawah sistem yang sama.

“Apabila semua perkhidmatan Uber dan Grab beroperasi di bawah struktur yang sama dengan teksi, ini akan memusnahkan industri. Dengan sejumlah 150,000 permit yang bakal diluluskan, ini akan membuatkan lebihan teksi sedia ada dan ketidakseimbangan antara pengguna dan pemandu. Secara keseluruhannya, kami tidak bersetuju dengan apa yang diusulkan oleh SPAD,” ujar Kamaruddin.

Manakala Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Pemandu Teksi Lembah Klang, Zailani Isausuludin, pula berkata, perkhidmatan perkongsian kenderaan ini sepatutnya diharamkan selagi undang-undang baharu tidak diluluskan di Parlimen.

“Apa yang kami tahu, Uber dan Grab tidak melanggar undang-undang, tetapi mereka masih tiada lesen, dan ia belum disahkan lagi. Jadi kami mahu ia diharamkan segera sehingga disahkan undang-undang,” ujarnya.

Beliau turut berkata, memberikan ruang kepada kenderaan persendirian untuk perkhidmatan ini bukan sahaja akan memusnahkan industri teksi, bahkan turut menjejaskan undang-undang pengangkutan.

Malah menerusi The Malay Mail pula, Setiausaha Kumpulan Sektor Teksi, Apriman Dalias, turut meluahkan perkara yang sama selepas pertemuan dua jam antara SPAD dan semua pihak berkaitan termasuk teksi dan pemandu e-hailing untuk menjelaskan TITP, sebagai jalan menamatkan konfrontasi antara mereka.

Katanya, “Adakah kita, sebagai rakyat Malaysia, akan membenarkan untuk dimalukan oleh kereta luar? Mana-mana negara yang membuat kereta sendiri akan menggunakannya [sebagai] teksi.”

Beliau menambah, ini akan menyebabkan model keluaran Malaysia selain Proton yang secara tradisinya digunakan sebagai teksi di sini, akan diketepikan kerana kebanyakkannya tidak memenuhi spesifikasi yang digariskan oleh SPAD sebagai kenderaan pengangkutan awam. Selain itu, kereta yang digunakan sebagai teksi juga perlu murah dan kurang penyelenggaraan [seperti] kereta buatan Jepun, dan akhirnya kereta buatan tempatan akan dipinggirkan.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Izwaashura Sadali

Ledakan adrenalin dan impak maksima. Antara barisan ayat yang paling digemari apabila menggambarkan prestasi sesebuah jentera. Sebelum terlibat di dalam industri auto pada tahun 2011, dia sekadar gemar melihat sport rim tetapi kini lebih suka menerokai kehebatan sesebuah jentera itu.

 
 

Add a comment

required

required