Setelah sekian lama konfrontasi antara pemandu teksi dan perkhidmatan e-hailing seperti Grab dan Uber, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akhirnya telah mendedahkan Pelan Transformasi Industri Teksi (TITP) yang telah diluluskan kabinet hari ini.
Pelan Transformasi berkenaan dibina berasaskan empat prinsip utama iaitu levaraj pada teknologi, meningkatkan pendapatan pemandu teksi, meningkatkan kualiti servis pemandu teksi serta merasionalkan tambang teksi. Untuk itu, 11 program telah digariskan untuk mencapai empat prinsip utama berkenaan.
Pelan transformasi ini telah diluluskan oleh kerajaan bagi membolehkan industri teksi di Malaysia terus berdaya saing dengan mengambil kira permintaan pasaran.
Di bawah TITP ini, SPAD akan mengawal selia industri teksi dengan mengeluarkan hanya satu Kad Pemandu. SPAD dan JPJ akan akan membuat perbincangan untuk menentukan kaedah berkaitan dan pengumuman mengenainya akan dibuat dalam masa terdekat. Dalam masa yang sama, undang-undang turut akan dikenakan pada syarikat dan pemandu perkhidmatan e-hailing untuk memastikan ia mematuhi objektif polisi seperti perlindungan insuran wajib dan keperluan keselamatan. Kenderaan yang digunakan untuk perkhidmatan e-hailing juga perlu menjalani pemeriksaan wajib untuk memastikan keselamatannya di atas jalan raya.
SPAD turut akan mengeluarkan semula lesen teksi individu di bawah kelas teksi bermeter dan kereta sewa dan kerajaan juga turut meluluskan geran tunai RM5,000 untuk membantu pemandu teksi keluar dari model pajak untuk membeli kereta baharu seperti yang dicadangkan sebelum ini.
Dalam usaha berkaitan, SPAD turut bekerjasama dengan agensi berkaitan untuk mengurangkan kos pemandu teksi untuk industri teksi yang lebih terbuka. Untuk permulaan, SPAD akan meliberalisasikan pilihan model agar pemandu teksi boleh membeli kereta yang berharga lebih kompetitif.
Oleh itu, pemegang lesen teksi selepas ini mempunyai pilihan yang lebih luas untuk membeli kenderaan yang bakal digunakan sebagai teksi dan tidak terhad kepada model seperti Proton Exora dan Toyota Innova. Model yang boleh dijadikan teksi sekurang-kurangnya perlu menerima penarafan ASEAN NCAP tiga bintang, untuk mempercepatkan penukaran kenderaan baharu dan mengurangkan kos pemandu teksi.
Kontrak sewa teksi akan distandardkan, dan pengendali operasi teksi perlu memberikan sewa percuma semasa pemeriksaan Puspakom, cuti tahunan dan cuti sakit, insuran kenderaan pihak pertama serta pemulangan wang deposit semasa berakhirnya kontrak. Pemandu teksi juga bakal mempunyai KPI wajib, serta perlu dihubungkan kepada sistem penghantar seperti aplikasi mudah alih untuk urusan tempahan melalui telefon, tempahan melalui laman web atau tempahan radio untuk menambahkan pendapatan pemandu.
Untuk keselamatan tambahan, SPAD akan mengenakan proses saringan yang ketat pada pemandu teksi dan pemandu e-hailing, termasuk pemeriksaan kesihatan, rekod jenayah, kesalahan trafik dan menyalahi undang-undang lesen operasi SPAD. SPAD turut bekerjasama dengan JPJ untuk memantau pemandu teksi di bawah Sistem Markah Demerit Kejara yang baharu.
Antara yang paling penting, kadar tambang sewa teksi adalah lebih rendah dari kadar sedia ada, bertentangan dari andaian sebelum ini. Kadar tambang minimum untuk TEKS1M akan dikenakan sebanyak RM3, dan surcaj 25 sen/200 m atau 25 sen/36 saat, berbanding sekarang yang dicaj pada kadar minimum RM4, 30 sen/200 m atau 30 sen/36 saat.
Untuk kadar tambang teksi di lapangan terbang dan terminal, kadar tambang zon sedia ada akan digantikan dengan perkiraan berdasarkan jarak untuk memastikan tahap konsisten dan kesaksamaan. Selepas proses rasionalisasi ini, tambang teksi akan naik untuk beberapa destinasi, manakala yang lain akan turun. Rujuk jadual diatas untuk contoh yang lebih jelas.
Akhir sekali, pemandu teksi bermeter akan diberikan pilihan sama ada menggunakan struktur harga dinamik, yang akan membolehkan mereka menggunakan meter ketika mengambil penumpang di jalan raya, atau menggunakan struktur kadar tambang e-hailing jika mereka menggunakan servis e-hailing.
Pelan transformasi ini nampaknya memperlihatkan perubahan besar berbanding operasi teksi sedia ada. Jadi, apa pendapat anda? Kongsikan bersama kami pada ruang komen di bawah.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.
setuju dgn spad. but believe me all those taxi driver akan still charge the same
Sistem e-hailing sesuai utk teksi..
Jika d ujudkan kereta biasa supaya teksi bersaing konon dlm uber grab adalah tidak betul dan bijak pada pihak spad
which produa agency selling new taxi vehicle in Kuala Lumpur