Porsche 718 Boxster dan 718 Boxster S – Pemanduan di litar yang menguji kemampuan mengendali kuasa

Porsche 718 Boxster S Official 02

Hari Ahad yang memuaskan mungkin dapat dikecapi misalnya ketika anda berhasil meluangkan masa beberapa jam di sebelah tengah harinya untuk memandu barisan kenderaan prestasi tinggi di dalam litar dan belajar banyak perkara tentang pemanduan.

Dan itulah yang kami lakukan hujung minggu lalu; cuaca di litar Sepang agak baik. Mendung walaupun sedikit berjerebu. Lebih penting adalah barisan kenderaan yang menanti di sana; antaranya yang ingin dipaparkan di dalam laporan ini ialah dua varian dari model terbaharu yang diperkenalkan oleh Sime Darby Auto Performance (SDAP) Sdn Bhd untuk pasaran Malaysia – Porsche 718 Boxster dan 718 Boxster S.

Di Malaysia, Porsche 718 Boxster ini baru saja dilancarkan secara rasmi awal Ogos lalu. Namun, sejarahnya – atau paling tidak, angka pada namanya – adalah warisan dari dekad-dekad sebelumnya. 718 adalah nama yang dipilih sebagai tanda hormat kepada jentera lumba 718 yang dilahirkan pada 1953. Pada 1960an, jentera ini mengungguli lebih daripada 1,000 perlumbaan.

Dari semangat inilah model 718 Boxster ini dilahirkan. Dan, di mana lagi tempat yang terbaik untuk merasakan kejituan pemanduan dua model terbaharu ini jika bukan di litar?

Ia terdiri daripada dua varian/model; 718 Boxster dan 718 Boxter S. Yang menjadi tarikan utama model ini tentulah enjinnya; ia menggunakan enjin empat silinder baharu dengan pengecaj turbo bagi kedua-duanya. 718 Boxster, ia dilengkapi enjin 2.0 liter dengan janaan kuasa 300 hp, sementara tork yang mampu dihasilkan pula ialah 380 Nm (pada 1,950 hingga 4,500 rpm).

Porsche 718 Boxster S Official 03

Berbeza pula dengan 718 Boxster S. Ia menggunakan enjin 2.5 liter dan turbo dengan ciri Variable Turbine Geometry (VTG). Kuasa yang dihasilkan lebih banyak – 350 hp dan 420 Nm tork (pada 1,900 hingga 4,500 rpm). Dengan enjin baharu dengan turbo ini, ia memberikan tambahan 35 hp kuasa berbanding model Boxster sebelum ini, dengan penggunaan minyak mencatatkan 13% lebih baik.

Penawaran terkininya benar-benar memberi kelainan dan peningkatan yang bukan main-main bagi model Boxster. Sebagai contoh, jumlah tork yang dicapai oleh 718 Boxster kini sebenarnya 100 Nm melebihi model lamanya. Begitu juga dengan 718 Bosxter S; torknya melebihi sebanyak 60 Nm berbanding Boxster S sebelum ini.

Sedikit lagi maklumat tentang angka-angka prestasinya; dengan PDK dan Sport Chrono Package, 718 Boxster memberikan kepantasan pecutan 0-100 km/j dalam tempoh 4.8 saat. Ini 0.8 saat lebih pantas daripada sebelumnya. Dengan kelengkapan sama, 718 Boxster S pula memberikan bacaan 0-100 km/j dalam masa 4.2 saat (0.6 lebih pantas). Kelajuan maksimum masing-masing ialah 275 km/j dan 285 km/j.

Dari aspek penggunaan minyak, dua model ini mampu mencapai bacaan yang lebih baik. 718 Boxster gandingan enjin 2.0 liternya dengan transmisi PDK membolehkan ia mencapai angka 6.9l/100 km. Sementara itu, 718 Boxster S dengan PDK pula berupaya mencapai 7.3l/100 km.

Angka-angka ini mungkin tidak akan memberi maksud apa-apa sekiranya hanya diperhatikan dari atas kertas. Untuk itu, kami cukup bertuah kerana diberi peluang untuk memandu dan merasakan sendiri prestasinya, walaupun dalam waktu yang agak terhad, di dalam litar Sepang.

Sekadar makluman, jika ada yang tertanya-tanya dari mana datangnya nama Boxster ini, ia adalah dari dua perkataan; roadster yang merujuk kepada jenis reka bentuknya (antara cirinya ialah bumbung boleh dibuka) dengan boxer yang merujuk kepada layout enjin empat silinder rata yang digunakan.

Ini kali pertama kami memandu dalam keadaan permukaan baharu litar Sepang selepas ia dinaik taraf. Dan, 718 Boxster S menjadi model pertama yang dicuba, untuk dua pusingan penuh litar sebelum beralih pula kepada 718 Boxster. Memasuki litar, awalnya dengan pilihan mod Normal bagi pakej Sport Chrono pada 718 Boxster S sudah memberi tanggapan terhadap kemampuan jentera ini.

Berada sendiri di belakang sterengnya untuk mengendalikan kereta ini, serta merasakan sendiri tahap ketepatan maklum balas yang diberikan oleh pedal minyaknya, barulah kami tahu apa yang mampu diberikan oleh angka-angka prestasi yang dinyatakan tadi; ia sangat responsif dan penyaluran kuasanya begitu mudah dapat dirasakan.

Ketika beralih ke mod Sport pada suis khas yang terletak di stereng, ia memberikan maklum balas yang lebih agresif. Pernah satu dua kali, ketika sedikit ghairah untuk merasakan kepaduan kuasanya, kereta yang dipandu hampir-hampir hilang kawalan, terutama ketika di dalam selekoh.

Sedikit sahaja tekanan pedal minyak ditambah, seketika itu juga saluran kuasanya sampai pada tayar. Sedikit sahaja lalai dan tak sempat membrek dengan cermat sebelum memasuki selekoh, kereta ini akan mempamerkan sisi liarnya dan membuang di bahagian belakang.

Hal ini adalah kerana output kuasa yang ada padanya cukup besar, jika dilihat dari sudut nisbah jika dibandingkan dengan saiz serta berat kerangka yang ada, ia sebenarnya bergantung kepada kepampuan kendalian pemandu pada kebanyakan masa. Dalam bahasa mudah, jika ingin memandunya, ketahui dulu tahap kemampuan diri sendiri. Jangan terlebih yakin.

Berbeza sedikit dengan 718 Boxster. Mungkin selepas memandu versi ‘S’ yang lebih agresif, model ini dirasakan lebih mudah dijangka maklum balasnya. Memandunnya juga dirasakan lebih tenang; kurang tujahan-tujahan kuasa yang banyak yang mampu menimbulkan perasaan keliru ketika di atas litar.

Penyampaian kuasanya lebih sederhana, misalnya ketika ingin keluar dari selekoh, ia lebih mudah dikendalikan dan tidak memberikan ruang untuk menerjah melulu. Dalam maksud lain, 718 Boxster lebih mudah dikawal dan tetap menyeronokkan.

Mungkin, apa yang sepatutnya kami lakukan ialah memandu model ini dahulu sebelum mencuba 718 Boxster S. Dengan cara ini, adaptasi pemanduan serta kepekaan sempat di’latih’ terlebih dahulu sebelum melayan lonjakan kuasa yang sarat pada model S. Apa pun, berbaloi untuk meluangkan sebahagian hari Ahad anda untuk hal-hal seperti ini.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.

10% discount when you renew your car insurance

Compare prices between different insurer providers and use the promo code 'PAULTAN10' when you make your payment to save the most on your car insurance renewal compared to other competing services.

Car Insurance

Hazril Hafiz

Berkecimpung di dalam media automotif tempatan sejak 10 tahun lalu, Hafiz mengimpikan sebuah Malaysia dengan jaringan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan menyeluruh. Tugas terakhirnya sebelum menyertai laman web ini ialah sebagai editor sisipan automotif sebuah akhbar arus perdana.

 
 

Add a comment

required

required